SelangorToday

PM ANWAR SERU KEPIMPINAN ASIA BENTUK WAWASAN KEPIMPINAN BAHARU

Kepimpinan Asia perlu mencari dan membentuk wawasan kepimpinan baharu ditengah-tengah ketidak tentuan geopolitik dan ekonomi global.

Untuk itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua negara rantau tersebut bekerjasama dengan memanfaatkan kapasiti strategik demi mengharungi cabaran semasa.

“Cabaran yang mendatang menuntut kita untuk mencari dan membentuk wawasan kepemimpinan Asia yang diperbaharui. Apabila dunia dilanda permasalahan, ditambah pergolakan ekonomi dan geopolitik, agak mudah untuk kita terpesong dari fokus utama.

“Justeru, Asia berada di kedudukan terbaik untuk menegakkan kembali hala tuju kita. Tidak seperti tiga dekad yang lalu, hari ini, Asia kini mempunyai kekuatan ekonomi, kapasiti strategik, dan kerjasama yang mungkin diperlukan untuk mengharungi cabaran ini,” katanya menerusi ucaptama pembukaan Forum Nikkei, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi pengalaman penggubalan dasar di Malaysia.

Beliau berkata, beberapa dasar baharu menyokong pertumbuhan dirangka mengambil kira tiga cabaran utama global melibatkan isu geopolitik, pendigitalan dan perubahan iklim.

Ini dengan mengambil contoh, Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023, selain Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan.

“Pelan tindakan strategik ini menunjukkan peranan Malaysia dalam membina kepimpinan Asia dalam bidang ekonomi, digital dan kemampanan. Sesungguhnya, ketidak tentuan di luar negara hanya mengukuhkan tekad kami (Asia) untuk memandang ke hadapan dan proaktif demi kestabilan dasar domestik dan mewujudkan masa depan yang sejahtera untuk semua.

“Akhirnya, ASEAN dan rakan kongsinya memegang tanggungjawab kolektif untuk memastikan rantau kita sentiasa dinamik, stabil dan boleh beradaptasi, dan Malaysia menyokong usaha ini dengan sepenuh hati,” katanya.

Anwar diberi pengiktirafan menyampaikan ucaptama pada pembukaan acara berprestij Forum Nikkei yang ke-29.

Persidangan turut dihadiri beberapa pemimpin rantau Asia antaranya, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Khai, dan Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Sun Chanthol. – Berita RTM

Exit mobile version