SelangorToday

PM Anwar Tegaskan Kedaulatan Undang-Undang, Hormati Penghakiman Isu Titah Adendum

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pengasingan kuasa, khususnya dalam menjamin kebebasan badan kehakiman daripada sebarang pengaruh luar.

Dalam kenyataan media hari ini, Anwar merujuk kepada penghakiman mahkamah berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam, sambil menegaskan pendirian kerajaan untuk menghormati sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.

“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa selaras dengan prinsip negara hukum, semua pihak wajar menghormati keputusan mahkamah tersebut, termasuk menggunakan ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia, sama ada melalui proses rayuan atau mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada.

Pada masa sama, Anwar menyeru semua pihak agar menangani isu berkenaan dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan, memandangkan sensitiviti keadaan yang melibatkan Dato’ Sri Najib Razak dan keluarganya.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” tegas beliau.

Kenyataan tersebut mencerminkan pendirian tegas Perdana Menteri bahawa kestabilan negara, penghormatan terhadap institusi kehakiman serta keluhuran Perlembagaan mesti terus dipelihara, tanpa mengira tekanan atau sentimen politik semasa.

Exit mobile version