SelangorToday

PM Anwar Umum Harga Minyak Turun 30 September ini

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini, memberi kelegaan besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, rakyat hanya perlu menggunakan MyKad di kaunter dan pam atau menerusi aplikasi stesen minyak untuk menikmati harga baharu itu.

Manfaat tersebut akan diberikan lebih awal kepada kumpulan tertentu iaitu anggota polis dan tentera mulai 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September.

“Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu,” kata Anwar dalam kenyataannya hari ini.

Beliau menegaskan langkah itu adalah tanda penghargaan tertinggi kerajaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha serta berkongsi tekad bersama Kerajaan MADANI dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah,” tegas Perdana Menteri.

Pengumuman itu disifatkan sebagai salah satu inisiatif terpenting kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, selain menjadi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan meneruskan agenda #MalaysiaMADANI.

Exit mobile version