SelangorToday

PM ANWAR UMUM IMBUHAN RM10,000 SETIAP PEMAIN, JURULATIH SEPAK TAKRAW KEBANGSAAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan imbuhan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan susulan kejayaan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan pasukan kebangsaan selepas mereka memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda pada kejohanan berkenaan.

“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej dan standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Anwar memaklumkan pada pertemuan itu, beliau turut membincangkan beberapa perkara, termasuk keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.

Pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand apabila menewaskan mereka dalam perlawanan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Namun, penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan pula terus berpanjangan apabila tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final. – BERNAMA

Exit mobile version