Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunaikan janji setelah dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 malam tadi dengan mengumumkan bahawa cuti akan diberikan untuk rakyat Malaysia pada hari Isnin akan datang iaitu 28 November 2022. Jelas Anwar ketika membuat pengumuman itu dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri menyatakan bahawa cuti yang dijanjikan adalah pada Hari Isnin 21 November 2022. Namun atas penyelesaian untuk melantik Perdana Menteri memakan masa yang lebih lama, menyebabkan Anwar mengumumkan cuti pada minggu berikutnya.
Anwar yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 5.00 petang pada Khamis di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah itu mengadakan sidang media pertamanya di Kajang. Selain mengumumkan cuti, Anwar juga kekal dengan janjinya apabila beliau menyatakan komitmen untuk tidak menerima sebarang gaji sebagai Perdana Menteri atas keadaan negara yang masih mencabar. Disisi beliau ketika membuat pengumuman adalah isteri beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tambah Pengerusi HARAPAN Malaysia itu lagi, beliau tetap bertegas untuk tidak berkompromi dengan amalan rasuan dan kleptokrasi. Meskipun sudah menjadi pemimpin negara, prinsip yang beliau bawa sejak dulu tidak akan luntur dan terus diaplikasikan dalam kepimpinannya. Iltizam Anwar sebagai PM juga adalah mempertahankan kedudukan bahasa melayu, keistimewaan bumiputera dan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Anwar juga akan membuktikan keabsahannya yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan pada Sidang Dewan Rakyat 19 Disember ini. – Selangor Today