Keampuhan Selangor sebagai antara negeri yang mencatat kemajuan dan prestasi terbaik di negara ini menjadikannya kubu kerajaan perpaduan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjawat awam Selangor yang menjadi tonggak pembangunan negeri dan negara harus mempertahankan keteguhan itu dengan mengamalkan tatakelola baik dan berhemah dalam melaksanakan tugas.
“Saya mengharap betul-betul kepada saudara saudari (penjawat awam Selangor) kerana Selangor ini kubu Kerajaan Perpaduan.
“Saya harap saudara saudari faham keperluan kita pertahankan bukan kerana sentimen atau jaminan upah tetapi kerana ini negeri yang mencatat kemajuan terbaik selain dari Sarawak.
“Bukan sekadar kekalkan kerajaan yang ada, kita sokong kerana kita tahu prestasinya dan komitmen untuk selamatkan negara kita,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Amanat Khas Bersama Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah yang dihadiri lebih 1,000 penjawat awam di sini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Anwar berkata penjawat awam sebagai tonggak negeri dan negara harus berani dalam mengembalikan maruah dan imej Malaysia sebagai negara yang hebat di rantau ini.
“Kembalikan maruah kita sebagai satu negara hebat dan buktikan dengan usaha kita dalam setahun, dua, atau tiga tahun ini angkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.
“Tengok prestasi Selangor, boleh (dan) boleh lagi kita angkat kerana Selangor mempunyai peranan penting dalam pertahankan induk dan kekuatan ekonomi negara. Sebab itu ramai orang nak rampas. Jangan bagi peluang dia mencelah,” katanya.