SelangorToday

PMKS PERLU TERAP AMALAN ESG, LEBIH PELUANG DI PASARAN GLOBAL – EWON

Majlis Sidang Media Prestasi PMKS 2022. DATUK SERI DR. MOHD UZIR MAHIDIN , DATUK SERI SURIANI DATUK(Sec-Gen of KUSKOP) DATUK EWON BENEDICK , TAN SRI DATUK SERI BERNARD GILUK DOMPOK(Chair of SMECorp) AHMAD RIZAL BIN NAINY(CEO of SMECorp) —LOW BOON TAT/THE STAR

Kalangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu melengkapkan operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian bagi meningkatkan lagi peluang di pasaran dunia yang kian menitikberatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata ini penting memandangkan semakin banyak syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) bertindak menjadikan ESG sebagai kriteria atau penilaian risiko dalam membuat keputusan.

Sejajar dengan usaha itu juga, kerajaan akan menyediakan satu garis panduan pelaporan ESG bagi memudahkan PMKS mengenal pasti kriteria asas dalam usaha penerapan nilai-nilai berkenaan.

“Pada November (ini), Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan akan bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Beliau akan melihat pembentangan garis panduan itu sebelum diumumkan dan seterusnya dilancarkan.

“Kementerian juga telah mengemukakan (permintaan) kepada Kementerian Kewangan agar sejumlah peruntukan disediakan di bawah Belanjawan 2024 untuk kita jayakan amalan ESG dalam kalangan PMKS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ‘Melakar Laluan ESG untuk PMKS & Pemadanan Perniagaan bagi Industri dengan Pertumbuhan Tinggi di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ewon yang juga anggota Majlis Presiden HARAPAN Nasional berkata selain menampung peningkatan permintaan terhadap elemen ESG daripada pihak berkepentingan, PMKS juga perlu mendapatkan akses pasaran secara berterusan dan kekal dalam rantaian bekalan sedia ada, meluaskan pasaran menerusi penyertaan dalam rantaian bekalan baharu atau menarik pelaburan baharu untuk pengembangan perniagaan.

Mengulas seminar selama dua hari bermula hari ini, Ewon berkata inisiatif anjuran SME Corp Malaysia (SME Corp) itu turut melibatkan 380 sesi pemadanan perniagaan.

Exit mobile version