
Beberapa hari yang lalu, sempena Perayaan Tahun Baru Cina Parti GERAKAN, Azmin Ali selaku Pengerusi BERSATU Selangor serta Setiausaha Agung Perikatan Nasional(PN) merayu kepada kaum cina untuk memberikan peluang kepada PN untuk mentadbir Negeri Selangor.
Rayuan itu wujud selepas Azmin menyampaikan saranan dan arahan Pengerusi PN Nasional, Muhyiddin Yassin agar jentera pilihan raya BERSATU dan PN bersiap sedia kerana dakwanya akan berlakunya Pilihan Raya mengejut yang dijangka hujung tahun ini.
Justeru kenyataan demi kenyataan bekas Ahli Parlimen Gombak itu boleh disifatkan sebagai satu usaha untuk mencorak pemikiran masyarakat bahawa tempoh penggal ke-15 parlimen Malaysia bakal berakhir tidak lama lagi. Ia juga dilihat sebagai satu tekad yang kuat buat BERSATU dan PN untuk menawan Selangor daripada PH dan BN.
Pun begitu, usaha itu seolah-olah tidak disambut oleh rakan sekomponennya daripada PAS. Sedangkan naratif yang sedang dimainkan oleh Azmin itu sepatutnya disambut dengan gegak-gempita oleh PAS yang merupakan nadi atau tonggak jentera PN di seluruh negara.

Bagi PAS, naratif Pilihan Raya mengejut tidak bersesuaian dengan keadaan hari ini. Malah PAS sedang menumpukan usaha untuk menekan kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim ataupun menumbangkan kerajaan bukan melalui pilihan raya.
Tidak dipastikan mengapa PAS menolak mentah-mentah naratif Azmin itu, namun apa yang dapat dihidu, keuntungan yang lumayan diperoleh PAS dalam PRU ke-15 lalu masih menjadi santapan buat pimpinan PAS. Ertinya, masih belum cukup masa untuk kenikmatan mempunyai hampir 50 wakil rakyat di Dewan Rakyat serta menguasai 4 negeri dileraikan.
Kejayaan PAS hari ini jauh daripada rekod-rekod sebelumnya. Namun PAS dilihat tidak yakin dan percaya sama ada mereka mampu untuk mengekalkan prestasi sedia ada atau mencapai kejayaan lebih gemilang lagi dalam PRU seterusnya. Pengaruh dan hasil reformasi yang dilakukan oleh kerajaan MADANI diakui membekas ke dalam hati rakyat.
Maka sebab itu, untuk apa diadakan Pilihan Raya dalam tempoh terdekat sedang PAS masih belum yakin akan kekuatannya untuk menghadapi pertempuran itu. Lebih baik PAS menikmati pencapaian yang sedang mereka gapai sekarang sebaiknya.

Berbalik kepada cerita Azmin tadi, rayuan beliau kepada kaum cina itu dilihat sangat pelik. Ini kerana Azmin atau PN khususnya tiba-tiba menjadi terbuka dan bermuhibah dalam perihal kaum, sedangkan sebelum ini pembangkanglah yang kerap memainkan lagu yang berbentuk perkauman hanya semata-mata mahu mendapatkan kemenangan dalam Pilihan Raya.
Buktinya semasa gelombang hijau, PN menguasai undi kaum melayu yang ditakut-takutkan oleh pengekalan status quo terkait kedudukan orang melayu di Malaysia. Sentimen itu ditiupkan setiap hari tanpa fakta dan data yang jelas. Hasilnya, mereka berjaya menawan kerusi-kerusi majoriti melayu.
Namun begitu, strategi PN ini tidak mampu membawa PN diangkat sebagai pemerintah baik di persekutuan mahupun negeri Selangor. Justeru PN mula memperlihatkan sikap yang toleransi serta terbuka dalam melaksanakan dasar pelbagai kaum demi memancing undi kaum melayu pula. Walhal PN seolah-olah tidak memahami atau menyedari hakikat bahawa strategi awal PN dahulu yang diwajahkan sebagai wira pejuang melayu Islam telah menjauhkan PN daripada sokongan kaum bukan melayu.
Kepercayaan kaum bukan melayu kepada PN terobek dek kerana begitu kuatnya permainan kaum yang dimainkan tanpa ada sebarang fakta yang tepat. Kesannya ramai pimpinan PN khususnya PAS kalah saman fitnah kepada pemimpin politik bukan berbangsa melayu.

Harus diingat, kerajaan Selangor telah dipimpin oleh pakatan yang dibentuk sejak 2008 iaitu KEADILAN,DAP dan PAS. Selepas tertubuhnya Pakatan Harapan, AMANAH dan BERSATU bersama kerajaan. Kepimpinan yang ada hari ini mempunyai rentak dan corak yang serasi dengan keharmonian kaum di Selangor.
Keberadaan PAS satu ketika dahulu diseimbangkan dengan pengaruh KEADILAN dan kewibawaan pemimpin PAS ketika itu yang sangat terbuka dan memahami konsep kenegerian di Selangor. Ia didokong pula oleh kewujudan AMANAH selepas itu.
Maka untuk apa Selangor perlu diserahkan kepada PN sedangkan semua pihak menyedari bahawa kepimpinan kerajaan yang ada hari ini lebih cermat dan cemerlang mengemudi negeri Selangor tanpa merosakkan kesepaduan kaum yang dibentuk.
PAS sebagai parti yang lama bertapak di Malaysia menyedari hakikat itu. Namun mereka tidak melihat perubahan strategi mereka dalam membawa politik kaum itu harus diubah. Ini menjadi salah satu bebanan kepada PN terutamanya GERAKAN.

Hasilnya sehingga hari ini PAS ataupun PN masih gagal menembusi sokongan bukan melayu. Sebab itu beberapa hari yang lalu, Azmin memulakan pendekatan yang lebih lunak dalam memperihalkan tentang bukan melayu.
Sesungguhnya PN berada dalam krisis identiti dalam memasuki tahun-tahun terakhir sebelum PRU ke-16 menjelma. Keterdesakan PN khususnya BERSATU untuk bertempur dalam Pilihan Raya seakan-akan memberi isyarat yang jelas bahawa jika lebih lama kerajaan MADANI memerintah, PN akan mula kehilangan sokongan rakyat. Untuk bergerak ke depan, mereka sedang berada dipersimpangan antara menjadi ultra melayu sahaja, atau bersikap lebih lunak dengan bukan melayu.