 
                SHAH ALAM, 17 Jun — Perikatan Nasional (PN) terus diasak kerana gagal menamakan calon Perdana Menteri yang diyakini rakyat, meskipun lantang menuntut agar Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, YB Danial Al-Rashid menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan ketandusan kepimpinan dalam blok PN yang bercita-cita mahu mentadbir negara.
“Perikatan Nasional minta Anwar turun, tapi siapa calon Perdana Menteri Perikatan yang layak? Hingga ke hari ini, mereka gagal menamakan tokoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa desakan supaya Anwar meletakkan jawatan bukanlah perkara baharu, namun PN sendiri tidak pernah berani membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Kalau benar yakin dan berani, bawalah usul tersebut secara rasmi. Jangan hanya bermain sentimen di luar Dewan,” tegasnya.
Mengulas cadangan Pemuda PAS untuk menganjurkan himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini, Danial mencadangkan agar pembangkang turut membawa calon Perdana Menteri mereka serta memperincikan pelan pentadbiran yang jelas kepada rakyat.
“Lebih baik lagi, lakukan roadshow ke seluruh negara, jangan hanya berhenti pada protes jalanan tanpa naratif. Atau sebenarnya mereka sendiri sedang bergelut dengan perebutan kuasa dalaman?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa hanya Kerajaan Perpaduan kini mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa dan diterima di dalam serta luar negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Danial turut menggariskan beberapa pencapaian penting di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, termasuk:
- Pengukuhan nilai Ringgit dan pelaburan asing tertinggi dalam sejarah negara
- Peningkatan hasil kutipan cukai serta pengurangan ketirisan fiskal
- Pelaksanaan subsidi bersasar dan reformasi jaringan keselamatan sosial
- Dasar ekonomi MADANI yang menekankan keadilan, kestabilan dan peluang

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui dasar dan hala tuju negara yang bakal ditawarkan oleh PN jika benar-benar mahu mengambil alih kerajaan.
“Tanpa calon Perdana Menteri dan tanpa dasar yang meyakinkan, laungan ‘Turun Anwar’ hanyalah retorik kosong — sekadar mengalih perhatian daripada kegagalan mereka sendiri membina alternatif yang jelas.”
Tambahnya lagi, rakyat kini memerlukan kestabilan dan kepimpinan yang fokus, bukannya sandiwara politik yang merugikan masa depan negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            