Kuala Lumpur: Semua Presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) hadir di kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, di sini, malam ini, kecuali Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Setakat ini, pemimpin parti komponen yang hadir ke rumah Muhyiddin ialah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Menurut sumber, ketiadaan pemimpin parti PAS itu seolah-olah memberi petanda parti itu ke arah keluar dari PN.Pertemuan itu dibuat atas jemputan Muhyiddin dan dikatakan perbincangan ‘pra-majlis’ susulan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya diadakan malam ini dibatalkan.Perbincangan terbabit yang dijadual bermula jam 8.30 malam ini.
Punithan ketika ditemui di luar kediaman Muhyiddin, berkata ia hanya perbincangan dalaman membabitkan keempat-empat pemimpin parti komponen dalam gabungan itu.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sudah dibatalkan jadi hari ini kita buat perbincangan bersama dengan (semua) presiden parti (dalam PN).
“Its just a way forward for Perikatan Nasional (ia hanya membincangkan langkah ke hadapan untuk PN). Ia hanya satu perbincangan dengan presiden-presiden parti (dalam PN),” katanya.
Menurut sumber, perbincangan terbabit dijangka tamat jam 11 malam dan belum dapat dipastikan sama ada pimpinan PN akan bertemu dengan pengamal media yang menunggu di luar kediaman Muhyiddin sejak jam 8 malam tadi.
Difahamkan pertemuan itu adalah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang.
Muhyiddin yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lalu turut memaklumkan pertemuan malam ini sebagai langkah perlu sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu diadakan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam turut mengesahkan mesyuarat awal itu diadakan sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.
Sebelum ini media turut melaporkan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN yang dibatalkan saat akhir itu bakal menjadi penentu kepada sengketa jawatan Pengerusi PN khususnya di antara pemimpin BERSATU dan PAS.