
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Harun hari ini mendakwa Ketua Pembangkang, Hamza Zainudin berhalusinasi dengan kenyataan bahawa rakyat mahu kerajaan yang sedia ada pada hari ini ditukarkan.
“Sudahlah mendapat pembangkang yang lemah, kini Ketua Pembangkang pula berhalusinasi tentang pertukaran kerajaan” katanya.

Melalui satu video yang dimuatnaik oleh Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu, beliau mempersoalkan kenyataan yang Hamzah nyatakan dalam sesi Podcast Keluar Sekejap beberapa hari lalu.
Siapakah yang Ketua Pembangkang jumpa sehingga menyatakan ada desakan bahawa bila lagi kerajaan akan bertukar? Adakah yang dijumpai oleh Ahli Parlimen Larut itu kawan-kawannya atau pun benar-benar rakyat biasa?
Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu mengingatkan Ketua Pembangkang untuk tidak bermimpi disiang hari sedangkan dalam keadaan sekarang, jika ada rakyat yang ingin menukar kerajaan MADANI ini, banyak manfaat daripada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang sedang dinikmati hari ini akan terlepas. –SelangorToday