Naib Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Shamsul Maa’rif bin Ismail, menyambut baik keputusan AirAsia memperkenalkan polisi baharu yang membenarkan kru wanita Muslimah memakai hijab bermula tahun 2026.
Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu tindakan progresif oleh syarikat penerbangan itu. Menurutnya, keputusan itu “memberi ruang kepada kakitangan untuk mematuhi prinsip agama sambil terus kekal profesional dalam kerjaya penerbangan.”
Beliau turut memetik pengumuman AirAsia bahawa uniform baharu dengan pilihan hijab dan seluar panjang “direka selesa, selamat serta mengekalkan identiti korporat AirAsia.” Katanya, ini menunjukkan keprihatinan syarikat terhadap kepelbagaian, hak individu dan kesejahteraan pekerja.
Hj Shamsul turut menekankan penghargaan terhadap kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang memuji usaha itu sebagai “langkah berani dan contoh yang harus diikuti sektor korporat lain,” selain menegaskan ia selari dengan prinsip menghormati hak beragama dan budaya kerja yang adil.

Beliau menambah bahawa langkah AirAsia tersebut “seiring dengan nilai Malaysia MADANI dalam menonjolkan kesederhanaan, hormat, keterangkuman dan kesejahteraan sosial.” Tegasnya, ia membuktikan bahawa kerjaya moden boleh bergerak seiring pegangan agama tanpa menjejaskan profesionalisme.
Hj Shamsul merumuskan bahawa keputusan ini akan “menjadikan AirAsia pelopor dalam memartabatkan nilai inklusif dalam sektor penerbangan, dan memberi isyarat positif kepada organisasi lain untuk mengutamakan kebajikan serta identiti pekerja.” Beliau mengakhiri kenyataan dengan ucapan “Sekalung Tahniah sekali lagi.”