
KUALA LANGAT, 1 Jun – Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA), Aishah Zain menegaskan bahawa politik bukanlah medan perebutan kuasa semata-mata, sebaliknya merupakan satu amanah besar untuk menjaga kebajikan rakyat dan mentadbir negara dengan penuh integriti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan WARDA Kuala Langat yang berlangsung pada awal Mei lalu.
“Politik bukan soal kuasa atau kedudukan, tetapi tentang tanggungjawab memelihara kebajikan rakyat, mengurus hasil negara dengan jujur dan membawa kemajuan tanpa kompromi,” ujar beliau dalam ucapannya.

Siti Aishah turut menyatakan bahawa Parti AMANAH Negara merupakan satu-satunya parti dalam Pakatan Harapan yang secara rasmi mengangkat peranan wanita muda melalui penubuhan sayap WARDA, sekali gus membuktikan komitmen parti terhadap keterlibatan generasi muda wanita dalam kepimpinan.
“Kita berpolitik atas dasar tanggungjawab dan berpegang teguh kepada nilai-nilai rahmah, amanah, hikmah, muafakat, adil dan hormat,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh anggota WARDA agar menjadikan penyertaan dalam organisasi ini sebagai medan sumbangan yang tersusun ke arah pentadbiran negara yang bersih, adil dan berkebajikan.
“Parti politik ialah sistem yang mentadbir negara. Maka, keterlibatan kita dalam AMANAH dan WARDA adalah langkah jelas untuk menyumbang ke arah pembentukan negara yang lebih baik,” tegasnya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua WARDA Kuala Langat, Nur Zairina binti Muzaini yang juga Setiausaha WARDA Selangor, atas kejayaan menganjurkan mesyuarat agung tahunan dengan tersusun dan berkesan.
“Komitmen dan kepimpinan beliau jelas terpancar dalam usaha menggerakkan WARDA di peringkat kawasan, seiring dengan peranan penting beliau di peringkat negeri,” katanya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada pimpinan kawasan yang hadir memberikan sokongan termasuk Ketua Kawasan, Tuan Haji Hasnol; Ketua AWAN, Puan Yusrinah Binti Idrus; Ketua Pemuda serta wakil-wakil Jawatankuasa Pimpinan Kawasan (JKP) dan Ketua-Ketua Cawangan.
Mengakhiri ucapannya, Siti Aishah menyeru semua anggota WARDA agar terus menjadi ejen perubahan di kawasan masing-masing.
“Kita membawa suara, nilai, dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya penuh semangat.