Gurun Sahara dan Hutan Amazon adalah fenomena yang sangat kontras dari segi fizikalnya. Keduanya berada di dua benua besar yang berbeza dan dipisahkan oleh lautan Atlantik yang luas. Jarak antara keduanya sekitar 10 ribu kilometer.
Gurun Sahara di Afrika adalah kawasan yang kering dan tandus yang dilitupi pasir gersang dan debu. Hutan Amazon pula adalah kawasan hijau yang subur dengan pelbagai kehidupan. Sungainya mengalir melintasi kawasan yang padat dengan tumbuhan dan haiwan liar. Manusia yang tinggal di Hutan Amazon tidak pernah pun tahu bahawa kelangsungan hidup mereka di situ rupanya bergantung dengan kewujudan Gurun Sahara yang mungkin mereka tidak tahu pun wujud sebelum ini.
Hanya sejak kebelakangan ini kita tahu bahawa Hutan Amazon itu boleh pupus tanpa kehadiran berpuluh juta tan baja dalam bentuk debu pasir dari Gurun Sahara di Afrika yang diterbangkan angin melintasi lautan Atlantik ke Hutan Amazon di Benua Amerika Selatan setiap tahun. Fenomena ini tidak diketahui sehinggalah teknologi angkasa lepas memaparkan secara jelas imej-imej pergerakan debu pasir ini di udara melintasi lautan dan kemudiannya mendarat di Hutan Amazon. Dianggarkan hampir 30 juta tan debu pasir setiap tahun yang sarat dengan mineral itu adalah talian hayat penting buat kelangsungan Hutan Amazon di Amerika Selatan.
Apa ibrahnya fenomena alam ini buat kehidupan manusia? Pasti ada kebijaksanaan yang boleh kita ambil manfaat. Sejak dari awal kewujudan manusia lagi, alam memang telah secara langsung banyak mengajar manusia untuk hidup. Alam semulajadi adalah sebuah kitab yang besar yang terkandung di dalamnya banyak ilmu. Ia adalah ‘kitab yang terlihat’ dan bukannya ‘kitab yang tercatat’. Surah Al-Maidah ayat 31 menceritakan bagaimana Allah menurunkan burung gagak untuk mengajar Qabil bagaimana untuk mengkebumikan mayat saudaranya Habil.
Ilmu sains banyak membantu manusia membongkar kebijaksanaan yang terkandung disebalik ‘kitab yang terlihat’ ini. Antara kebijaksanaan yang sangat ketara ialah apabila setiap sesuatu yang wujud di atas muka bumi ini terbukti memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka walaupun perkaitannya terlalu jauh dan berbeza dari sudut mata kasar . Dalam bahasa sains, ianya disebut ‘eko-sistem’. Hubungan Sahara dan Amazon adalah fenomena jelas yang menggambarkan ‘ekosistem’ ini dalam sekala yang sangat besar.
Hampir kesemua negara-negara imigran di dunia adalah lebih maju berbanding negara-negara watan. Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, dan Singapura adalah contoh negara-negara imigran yang wujud di dunia hari ini dan kesemua negara-negara ini termasuk di kalangan negara yang maju dan kaya. Ini menunjukkan bahawa interaksi dan integrasi sesama manusia yang datang dari pelbagai latarbelakang budaya dan tradisi membawa banyak manfaat dalam pembinaan sebuah masyarakat dan negara.
Walaupun ada negara-negara watan yang juga maju seperti Jepun dan Korea Selatan, tetapi dari segi sejarah rakyat di negara-negara tersebut mempunyai interaksi yang luas dengan pelbagai masyarakat luar untuk tempoh waktu yang agak panjang.
Masyarakat Eropah juga mempunyai sejarah integrasi dan interaksi yang panjang dan rencam. Pengalaman yang pelbagai ini juga banyak mencorak cara berfikir dan kemajuan budaya masyarakat Eropah. Kebelakangan ini, walaupun terdapat sentimen anti-imigran di kalangan sebahagian rakyat Eropah, secara umumnya negara-negara Eropah meraih pelbagai manfaat ekonomi dan budaya dengan kehadiran populasi imigran yang agak besar di sana. Sebahagian besar keperluan tenaga buruh di pasaran Eropah hari ini dipenuhi dengan adanya populasi orang-orang muda imigran dari Turki, India, Pakistan, dan Utara Afrika. Tanpa mereka, Eropah akan menjadi masyarakat manusia tua yang kurang bermaya dan kurang produktif. Begitulah hakikat wujudnya kelompok komuniti imigran di Eropah. Dari satu sudut, kehadiran mereka dianggap sebagai ancaman tetapi dari sudut yang berbeza mereka juga sebenarnya adalah penyelamat.
Realiti ini sebenarnya adalah gambaran kehidupan manusia di masa depan di seluruh pelusuk dunia. Semakin lama, kelompok peribumi di sesuatu negara atau wilayah semakin kurang relevan dalam menentukan susunatur kehidupan bermasyarakat atau bernegara. Semakin cepat sesuatu negara itu memacu kemajuan, semakin cepat proses pencairan identiti watan. Kalau sekarang ini, bilangan negara watan di dunia jauh mengatasi bilangan negara imigran tetapi keadaan ini mungkin tidak kekal untuk jangka waktu yang lama di masa depan.
Malaysia adalah sebuah negara yang cukup unik dalam konteks ini. Malaysia bukan negara imigran, tetapi Malaysia juga tidak sepenuhnya negara watan. Kita bukan macam Jepun atau Korea yang mana penduduknya adalah secara keseluruhannya adalah bangsa peribumi yang berbudaya, bertutur, dan berkongsi sejarah yang sama. Malaysia mempunyai rakyat yang pelbagai. Walaupun 60 peratus adalah penduduk peribumi, tetapi kehadiran 40% rakyat yang berasal dari komuniti imigran agak signifikan. Bukan sahaja mereka ini signifikan dari sudut bilangan, tetapi juga dari sudut sejarah, budaya, sosio-ekonomi, dan politik. Rata-rata dari kalangan rakyat yang berasal dari bangsa imigran ini masih mengekalkan tradisi, anutan agama, bahasa, dan budaya dalam kehidupan seharian. Malah secara fizikalnya juga mudah dikenali dari sudut warna kulit, cara berpakaian, dan raut muka.
Keadaan ini menjadikan Malaysia agar sukar membina identiti sebagai negara watan. Maka itu, ramai juga di kalangan rakyat Malaysia yang tidak dapat memahami dan menghayati sepenuhnya identiti negara kita yang sebenarnya. Sebahagian rakyat menganggap Malaysia adalah negara watan seperti Korea, Jepun, Vietnam, Thailand, Indonesia, dan lain-lain negara jiran. Mereka mahu Malaysia hanya mempunyai satu identiti seperti selayaknya negara-negara watan yang lain. Sebahagian rakyat pula mahu negara ini menjadikan politik negara-negara imigran sebagai model seperti Singapura, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, dan Kanada.
Hakikatnya, tidak kiralah samada kita mahu menjadi negara watan atau negara imigran, negara ini tetap perlu bersatu memastikan kehidupan dapat dibina dengan makmur dan harmoni. Kita perlu membina masyarakat yang inklusif. Kepelbagaian kita bukan ancaman, tetapi kekuatan. Perbezaan kita mengkayakan, bukan melemahkan. Suka atau tidak, inilah keperluan masa depan.
Penduduk watan mungkin boleh berbangga dengan sejarah dan warisan keperibumian mereka, tetapi apakah kehidupan mereka akan jadi lebih baik atau lebih buruk sekiranya kehadiran kelompok imigran bersama mereka tidak mampu dimanfaatkan sebaiknya. Masyarakat masa depan adalah masyarakat yang pelbagai dan inklusif. Ianya adalah sebahagian dari ‘eko-sistem’ dalam kehidupan manusia
Begitulah alam mengajar manusia untuk terus hidup dan berjaya dalam kehidupan manusia.