KUALA LUMPUR, 14 Okt – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti kejayaan dasar Malaysia Madani yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, kebertanggungjawaban fiskal dan keberanian melakukan reformasi sebenar.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, dua kementerian yang diterajui kepimpinan tertinggi AMANAH – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) – menjadi contoh nyata kejayaan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

Subsidi Pukal Berakhir Tanpa Lonjakan Harga
Menurut beliau, langkah berani KPKM menamatkan subsidi pukal ayam dan telur tanpa menyebabkan kenaikan mendadak harga pasaran membuktikan kecekapan dasar yang berpaksikan data dan keberanian politik.
Katanya, pendekatan baharu itu berjaya memecahkan dominasi kartel pengimport dan pemborong selain menjimatkan lebih RM1 bilion dana awam yang kini dapat disalurkan kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Ini adalah bukti bahawa AMANAH mengutamakan keadilan fiskal serta keberanian melakukan sesuatu yang betul walaupun tidak popular. Politik kami ialah politik kerja, bukan gimik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, KPKM turut memperkukuh sektor agro-makanan dengan peruntukan RM6.87 bilion, bagi memperkasakan petani, nelayan dan usahawan tani melalui digitalisasi rantaian bekalan serta penglibatan koperasi peladang dalam pengedaran baja dan input pertanian.
Reformasi Kesihatan Menyeluruh
Dalam sektor kesihatan pula, Dr. Mujahid berkata, kepimpinan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah melaksanakan reformasi paling menyeluruh dalam tempoh sedekad.
Dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM46.5 bilion, KKM melaksanakan pelbagai inisiatif penting termasuk:
- Menyerap ribuan doktor kontrak ke jawatan tetap,
- Menaikkan elaun on-call pegawai perubatan,
- Menyalurkan hasil cukai sin (sin tax) kepada pencegahan dan rawatan penyakit kritikal, serta
- Memodenkan sistem rekod pesakit digital di hospital dan klinik kerajaan.
Langkah ini, katanya, menggambarkan semangat politik Rahmah yang berpaksikan prinsip Maqasid Syariah – menjaga nyawa, maruah dan harta rakyat.
Politik Rahmah Lawan Politik Kebencian
Dr. Mujahid menegaskan bahawa AMANAH menolak politik kebencian dan populisme yang menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen sempit. Sebaliknya, parti itu memperjuangkan politik nilai yang berteraskan Rahmah, Amanah, Hikmah, Muafakat, Adil dan Hormat (R.A.H.M.A.H).
“Dari ladang hingga ke hospital, rakyat kini melihat hasil nyata kepimpinan yang berasaskan nilai dan tindakan. Inilah politik Rahmah yang sebenar,” katanya.
Tonggak Nilai Dalam Kerajaan Perpaduan
Beliau turut menegaskan komitmen AMANAH untuk terus menjadi tonggak nilai dalam Kerajaan Perpaduan, memastikan setiap dasar kerajaan membawa manfaat dan rahmah kepada rakyat.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar angka, tetapi lambang keberanian moral dan keikhlasan kepimpinan di bawah PMX dalam memacu Malaysia ke arah masa depan yang sejahtera dan inklusif,” katanya.
Dr. Mujahid turut menegaskan bahawa perjuangan AMANAH bukan semata-mata untuk meraih kemenangan politik, tetapi untuk menegakkan nilai amanah dan keadilan dalam pentadbiran negara.