Site icon SelangorToday

Politik Wala’ PAS Ancam Demokrasi dan Kesucian Islam – Mahfuz

White and Green Simple Cinematic Youtube thumbnail_20260103_100405_0000

ALOR SETAR, 2 Jan 2026 – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar memberi amaran terhadap bahaya politik wala’ yang menurutnya cuba meletakkan ketaatan kepada parti politik sebagai tuntutan agama, khususnya apabila parti dipersembahkan sebagai wakil mutlak Islam.

Menurut beliau, tulisan Presiden PAS bertajuk “Politik Tidak Berpisah Daripada Islam” bukan sekadar pandangan ideologi, sebaliknya satu manifestasi politik yang berisiko mengangkat ketaatan kepada parti setara dengan kewajipan beragama.

“Ini adalah titik paling berbahaya dalam politik Islam apabila parti dipersembahkan sebagai Islam itu sendiri, dan sesiapa yang mengkritik parti dilabel sebagai jahil, sesat, khadam syaitan atau musuh agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz menegaskan pendekatan sedemikian bukan dakwah, sebaliknya tekanan moral yang berselindung di sebalik nas agama dan sejarah Islam bagi menutup ruang perbezaan pandangan.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan konsep baiah, wala’ dan ketaatan yang menurutnya telah diselewengkan daripada tujuan asal, iaitu membina amanah kuasa, kepada alat untuk mengikat ahli supaya tunduk tanpa soal kepada kepimpinan politik.

“Islam tidak pernah mengajar wala’ membuta tuli. Kritikan politik tidak boleh dianggap sebagai dosa atau pengkhianatan agama,” tegasnya sambil mengingatkan bahawa sejarah ulama besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi‘i dan Imam Ahmad adalah sejarah keberanian menentang kezaliman kuasa, bukan mengabsahkan kuasa atas nama agama.

Mahfuz menegaskan PAS berhak berjuang atas dasar Islam, namun tidak berhak memonopoli tafsiran Islam atau menjadikan perbezaan pandangan politik sebagai dosa.

Katanya, apabila kritikan terhadap parti disamakan dengan penentangan terhadap Islam, agama akan dijadikan perisai politik, kesilapan kepimpinan tidak boleh ditegur, dan demokrasi pula dianggap ancaman kepada iman.

“Ini bukan siyasah Islamiyyah yang matang. Ini politik kepatuhan, bukan politik amanah,” ujarnya.

Beliau menegaskan Islam tidak memerlukan ketaatan membuta tuli untuk ditegakkan, sebaliknya Islam tercemar apabila dijadikan alat untuk menutup kegagalan dan kerakusan kuasa.

Mengakhiri kenyataannya, Mahfuz menegaskan bahawa Islam adalah milik seluruh umat dan lebih besar daripada mana-mana parti politik.

“Menegur parti bukan menentang Islam. Berbeza pandangan bukan memusuhi agama. Kalah dalam pilihan raya bukan tanda Islam ditolak. Parti politik, termasuk PAS, kekal sebagai entiti manusia yang wajib ditegur, dinilai dan boleh ditolak oleh rakyat,” katanya.

Exit mobile version