Bekas Jeneral, Prabowo Subianto mengangkat sumpah hari ini sebagai Presiden Indonesia yang kelapan.
Pemimpin berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen sebelum menuju ke Istana Presiden di mana Joko Widodo atau Jokowi akan menyerahkan tampuk pemerintahan selepas sedekad berkuasa.
Prabowo komited dengan dasar luar negara tidak bersekutu Indonesia, tetapi memberi isyarat bahawa beliau akan lebih berani di pentas dunia.
Beliau menjadikan China sebagai negara pertama untuk lawatan rasmi luar negara selepas pemilihannya lapan bulan lalu.
Prabowo kemudian memulakan lawatan ke 12 negara lain termasuk Russia, Arab Saudi dan Australia, di mana beliau menandatangani perjanjian keselamatan penting.
Beliau juga akan mewarisi ekonomi terbesar Asia Tenggara dan rizab nikel terbesar di dunia, menerajui negara berpenduduk 280 juta, yang mana kira-kira separuh daripadanya berumur di bawah 30 tahun.
Prabowo menang besar pada pusingan pertama undian Pilihan Raya Umum Indonesia, pada Februari lalu, dibantu oleh sokongan Gibran Rakabuming Raka sebagai calon naib presiden.
Gibran, 37, adalah anak lelaki penyandang Widodo. -Berita Harian