SelangorToday

PRABOWO DAHULUI KEDUDUKAN CALON PRESIDEN INDONESIA – TINJAUAN

Menteri pertahanan Indonesia dan calon presiden, Prabowo Subianto mengukuhkan kedudukannya dalam pilihan raya selepas calon jawatan itu mengambil bahagian dalam perbahasan televisyen menjelang 14 Februari depan.

Tinjauan antara 23 dan 24 Disember lalu, yang dikeluarkan Indikator Politik Indonesia, hari ini menunjukkan Prabowo, yang bertanding bersama anak lelaki Presiden Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, 36, akan memperoleh 46.7 peratus undi.

Indikator meletakkan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo sebagai lawan terdekatnya, dengan 24.5 peratus undi, manakala bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan mendapat sokongan 21 peratus daripada mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan.

Tinjauan oleh Kompas pada bulan ini memberi Prabowo 39.3 peratus undi dan meletakkan Anies sebagai lawan terdekatnya dengan 16.7 peratus, diikuti Ganjar, 15.3 peratus.

Tinjauan Indikator dijalankan selepas perbahasan di televisyen antara calon presiden pada 12 Disember lalu dan calon naib presiden pada 22 Disember.

Keputusan mahkamah perlembagaan negara pada Oktober membuka jalan kepada Gibran untuk bertanding dalam pilihan raya, menimbulkan kebimbangan meluas mengenai politik dinasti yang mendalam di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Pada perbahasan di televisyen, Gibran mempertahankan agenda ekonomi bapanya, terutama pembangunan ibu kota baharu.Tiga lagi perbahasan dijangka diadakan sebelum pilihan raya. – REUTERS

Exit mobile version