
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
SHAH ALAM, 3 Jun – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menepis dakwaan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023, akan dikosongkan.
Mengulas spekulasi berkenaan, Amirudin menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin yang tidak berpijak di bumi nyata.
“Itu hanya imaginasi dan tidak berasas. Proses mengosongkan kerusi bukanlah sesuatu yang mudah atau boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia memerlukan pertimbangan dan penelitian yang rapi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, berkata demikian bagi menjawab desas-desus kononnya kerusi DUN Sungai Tua akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada satu pilihan raya kecil (PRK), dengan tujuan membolehkan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertanding di kawasan tersebut.
Terdahulu, pada Jumaat lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam UMNO serta menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Amirudin menegaskan bahawa segala proses politik perlu berpandukan kepada tatacara yang sah dan bukan berdasarkan andaian atau kehendak pihak tertentu.