Pemimpin Umno menolak gesaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin supaya parti itu menilai semula kedudukan dalam kerajaan perpaduan selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada PRK Kemaman, minggu lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata kekalahan itu tidak bermaksud mereka perlu keluar daripada kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim, sebaliknya perlu turut melihat keserasian yang semakin kukuh.
Tegasnya, Umno tidak akan mengikut jejak Bersatu keluar dari gabungan kerajaan pada Feb 2020 menerusi Langkah Sheraton, bertitik tolak daripada kekalahan PRK Tanjung Piai, tiga bulan sebelum itu dengan alasan hilang sokongan Melayu.
“Kemaman tidak boleh disamakan dengan Tanjung Piai. Kekalahan Bersatu di situ digunakan Muhyiddin untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan DAP hanya jadi kambing hitam kepada Muhyiddin,” kata Puad kepada FMT.
Puad yang juga Adun Rengit berkata kerjasama Umno dan PH juga semakin serasi, terbukti dengan pembabitan parti itu dalam penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Itu bukti kerajaan perpaduan komited. Umno akan menilai kedudukannya dalam kerajaan jika ada unsur tikam belakang,” katanya. – FMT