SelangorToday

PRK MAHKOTA : ANTARA PEMUDA DAN WANITA, SIAPA PILIHAN UMNO?

Pilihan Raya Kecil di Malaysia seterusnya akan berlangsung di DUN Mahkota Negeri Johor menjelang pertengahan September ini. Setelah beberapa kesepakatan dicapai dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO telah diputuskan untuk mewakili Kerajaan Perpaduan bagi siri PRK kali ini.

Atas semangat itu, Pakatan Harapan(HARAPAN) bersedia menggerakkan jenteranya dan melakukan usaha sehabis baik bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di Mahkota. Ikrar Pengerusi, HARAPAN Johor, Aminolhuda Hassan bahawa untuk PRK kali ini, HARAPAN akan membantu sepenuhnya untuk memenangkan BN.

Cuma kesan daripada kemenangan PRK Nenggiri bulan lalu yang diwakili oleh Pemuda UMNO, dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO mahu kelompok mereka diletakkan sebagai calon. Kata Ketua Pemudanya, rekod cemerlang merampas kerusi Nenggiri daripada BERSATU satu petunjuk bahawa Pemuda harus diberikan peluang bertanding di Mahkota agar kejayaan Pemuda boleh diteruskan disana.

Ura-ura nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon yang dimahukan oleh Pemuda UMNO sebagai wakil UMNO di Mahkota. Keyakinan Akmal selaku Ketua Pergerakan itu dilihat atas faktor kesungguhan mereka berkampung di Nenggiri sepanjang kempen berjalan. Keupayaan Pemuda UMNO menguasai media sosial dan arus perubahan di DUN bawah Parlimen Gua Musang itu meletakkan UMNO dihadapan BERSATU dalam 17 Pusat Daerah Mengundi(PDM) semasa PRK tersebut.

Dari satu sudut, kehendak Pemuda UMNO itu ada rasionalnya, namun melihat kepada penyandang kerusi tersebut merupakan seorang wanita iaitu Almarhumah Sharifah Azizah Syed Zain, bolehlah dianggapkan bahawa kerusi tersebut dihadkan kepada calon-calon yang mewakili Pergerakan Wanita UMNO. Kata Ketua Wanita UMNO, Dr. Noraini Ahmad, tiga nama dari Wanita UMNO telah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk diputuskan sebagai calon.

Sebagai tunjang utama jentera parti keramat itu, sudah tentu Wanita UMNO lebih memerlukan kerusi DUN Mahkota memandangkan kesan PRU 2018 dan 2022, jumlah wakil rakyat dikalangan Wanita UMNO semakin berkurang. Pemilihan calon Wanita dan jika berjaya mempertahankan kerusi tersebut akan menaikkan semula momentum Wanita UMNO dalam meneruskan kelangsungan politiknya sama seperti Pemuda UMNO pasca PRK DUN Nenggiri.

Ruang kepada calon daripada kaum wanita juga akan memecahkan persepsi umum tentang kesaksamaan gender yang diperkasakan oleh Kerajaan Perpaduan. Berbeda dengan Perikatan Nasional, dalam semua siri PRK yang diadakan selepas PRU 2022, tiada seorang pun calon wanita yang diangkat oleh PN. Dapat dilihat disini bahawa peranan wanita dalam pakatan pembangkang itu dikesampingkan dan hanya digunakan untuk meraih undi semata-mata.

Walaubagaimana pun, Noraini telah menyatakan komitmen atas siapa sahaja calon yang akan diputuskan oleh pimpinan. Meskipun tidak memilih Wanita UMNO, jentera wanita akan terus menjalankan peranannya agar BN terus kekal memiliki kerusi DUN Mahkota kelak.

PRK kali ini mungkin dianggap pusingan terakhir kepada satu rempuhan untuk menumbangkan Muhyiddin Md Yassin sebagai Pengerusi PN. Jika kalahnya PN dalam PRK Mahkota, ertinya pengaruh Muhyiddin semakin melemah dan perlu meninggalkan jawatannya disebabkan pusingan kali ini diadakan di negeri yang beliau pernah memerintah dan pengaruhnya yang besar.

Siapa pun pilihan pucuk pimpinan UMNO sebagai calon Kerajaan Perpaduan di DUN Mahkota, UMNO perlu memastikan kemenangan itu dicapai agar sokongan yang dijana kepada Kerajaan Perpaduan dikekalkan.

Exit mobile version