SelangorToday

PRK SG BAKAP | PAS AMAL POLITIK MUNAFIK – HJ MAHFUZ OMAR

Naib Presiden AMANAH, Hj Mahfuz Omar menepelak sikap politik hipokrasi yang dimainkan oleh PAS. Kata beliau, sebelum ini PAS menjaja dan mempersoalkan jumlah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang di kalangan orang melayu, namun apabila HARAPAN mahu meletakkan seorang calon melayu untuk dihantar ke DUN Pulau Pinang bagi menambah bilangan wakil rakyat melayu dalam kerajaan negeri, PAS menghalangnya dengan menurunkan seorang calon melayu untuk menentang kerajaan negeri. Hj Mahfuz berkata, apakah kehendak PAS yang sebenarnya kerana usaha kerajaan negeri untuk menangani dakwaan PAS itu kini ditentang pula oleh PAS.

Pengerusi HARAPAN Negeri Kedah itu berucap dalam Ceramah Perpaduan di Sungai Kechil sempena Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap. Kata Hj Mahfuz lagi,  umum mengetahui bahawa PRK kali ini tidak akan mengubah parti pemerintah di peringkat Negeri, maka dengan mengundi PAS ia akan mengekalkan status sedia ada dengan wakil rakyat melayu di pihak pembangkang. Sebaliknya jika PAS benar-benar jujur dan ikhas untuk melihat orang melayu lebih ramai di blok Kerajaan Negeri, sepatutnya pencalonan Cikgu Joohari Ariffin di Sungai Bakap harus disokong oleh PAS dan diberikan laluan untuk menang tanpa bertanding. Jelas disini, beliau melihat PAS mengamalkan politik munafik atau hipokrasi yang pastinya hanya untuk melihat PAS mendapat keuntungan atas pelbagai dakwaan yang PAS sendiri mainkan.

Hj Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang(LPP) Malaysia menambah, secara logik akal, pengundi Sungai Bakap wajar mengundi calon HARAPAN memandangkan pencalonan ini mampu melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas aspirasi semua kaum bersatu dan membangunkan negeri. Cikgu Joohari yang merupakan bekas Pensyarah di Institut Aminudin Baki Cawangan Utara akan ditentang satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional(PN) Abang Abidin. Tarikh pembungan undi pada 6 Julai 2024. – SelangorToday

Exit mobile version