SelangorToday

PRK SG BAKAP | TIMBALAN PENGERUSI HARAPAN SERU PENGUNDI TAMBAH SEORANG LAGI YB BUMIPUTERA DALAM KERAJAAN

Timbalan Pengerusi HARAPAN, Mohamad bin Sabu menyeru pengundi Sungai Bakap untuk menambah bilangan wakil rakyat Bumiputera dalam kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap akan datang. Kata Mohamad, PRK kali ini tidak akan mengubah apa-apa kedudukan kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan. Namun PRK kali ini boleh menambah kelicinan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dengan menghantar seorang lagi wakil rakyat dalam Blok Kerajaan lebih-lebih lagi dari kaum bumiputera. Maka seruan itu dilontarkan oleh beliau untuk dipertimbangkan oleh pengundi Sungai Bakap.

Menyentuh soal isu perkauman dan agama yang sentiasa dimainkan setiap kali Pilihan Raya diadakan, Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan jika konsep ‘Fastabaqul Khairat’ diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Jelasnya, jika kaum bukan melayu boleh berjaya dalam projek pertanian berskala besar, mengapa kaum melayu atau bumiputera tidak berusaha untuk berjaya sama ada seperti mereka atau lebih berjaya dari mereka. Jika konsep ini dipegang, kelakuan maki hamun dan adu domba antara kaum akan terhapus sama sekali, sebaliknya kemajuan negara dijana tanpa ada sebarang penyisihan kepada mana-mana kaum.

Dalam Ceramah Pertamanya sempena PRK Sungai Bakap semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menjelaskan, kerajaan negeri dan pusat sentiasa menyalurkan pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan projek pembangunan ke kawasan-kawasan yang masih dikategorikan sebagai miskin dan bekerperluan. Katanya meskipun projek pendigitalan tidak memberi kesan langsung pada penduduk kampung, namun hasil pelaburan tersebut akan digunakan oleh kerajaan untuk menambahbaik keperluan warga kampung, seperti air, elektrik dan internet. Maka Mohamad sekali lagi menyeru pengundi Sungai Bakap termasuk kawan-kawan lamanya untuk mengundi Cikgu Joohari daripada HARAPAN 6 Julai ini. –SelangorToday

Exit mobile version