KOTA KINABALU, 7 Okt. 2025 – Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah menegaskan komitmennya untuk memperkukuh amalan politik matang dan berprinsip menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.
Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu, berkata politik matang yang menolak retorik perpecahan dan mengutamakan kepentingan rakyat menjadi asas perjuangan parti dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri dapat diteruskan.

“AMANAH Sabah bertekad untuk membawa pendekatan politik yang berintegriti, telus dan berakhlak, dengan menampilkan calon-calon yang berwibawa serta berjiwa rakyat. Kami percaya hanya kepimpinan yang berprinsip dan beretika mampu mengangkat martabat pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada rakyat memperbaharui mandat mereka.
Menurutnya, tindakan itu merupakan langkah demokratik yang wajar dipuji kerana memberi peluang kepada rakyat Sabah menentukan hala tuju pentadbiran negeri secara terbuka dan sah.
“Pembubaran ini bukan sekadar menepati kehendak perlembagaan apabila penggal hampir berakhir, tetapi turut membuka ruang kepada pembentukan kerajaan baharu yang lebih kukuh, stabil dan berpaksikan kepercayaan rakyat,” katanya.
Lahirul berkata, rakyat Sabah telah lama menantikan penyelesaian terhadap isu-isu asas seperti bekalan air bersih, elektrik stabil, infrastruktur yang baik, peluang pekerjaan serta pelaksanaan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Semua ini hanya dapat dicapai melalui hubungan yang kukuh dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, berteraskan semangat Malaysia Madani,” jelasnya.
Beliau menegaskan, AMANAH Sabah bersama Pakatan Harapan akan terus menjadi rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik negeri dapat dipertahankan.
“Politik matang dan keikhlasan berkhidmat adalah kunci utama bagi memastikan Sabah terus maju dan makmur bersama Malaysia Madani,” katanya.