SelangorToday

PRN SABAH BAKAL BERLANGSUNG TAHUN INI?

Selesainya Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota semalam, maka belum ada lagilah sebarang PRK yang akan diadakan dalam tempoh sebulan dua mendatang. Keadaan ini secara tidak langsung memberikan ruang kepada Kerajaan Persekutuan dan 13 buah Kerajaan Negeri menumpukan kepada pembentangan Belanjawan masing-masing untuk tahun 2025 sepanjang bulan Oktober sehingga November ini. 

Walaubagaimana pun, mengikut rekod pembubaran Dewan Undangan Negeri yang perlu mengadakan Pilihan Raya bagi siri ke-16, Negeri Sabah merupakan negeri pertama yang perlu membubarkan DUNnya paling lewat sebelum penghujung tahun 2025. Semua parti-parti yang bakal bertempur di Sabah mempunyai tempoh setahun lagi untuk membuat persiapan menjelang PRN yang akan diadakan jika Ketua Menterinya, Hajiji Noor mengambil tempoh sehingga mandat berakhir kelak. 

Sebaliknya khabar angin bertiup kencang yang mengatakan bahawa Hajiji bakal membubarkan DUN Sabah sebelum penghujung tahun ini. Khabar ini sangat kuat berkumandang memandangkan ia diakui sendiri oleh penganalisis politik Sabah, Musli Oli di ruangan facebooknya. Persediaan yang jitu dari parti WARISAN dan kekerapan pimpinan pusat yang diwakili PH dan BN untuk turun ke Sabah serta turunnya pelbagai projek dan inisiatif daripada kepimpinan GRS kepada rakyat menunjukkan gelanggang PRN Sabah bakal dibuka tidak lama lagi.

Mengapa Hajiji mahu membubarkan DUN Sabah dalam tempoh terdekat? Apakah yang menyakinkan Hajiji dan GRS untuk mengadakan PRN segera memandangkan tempoh kepimpinanya masih berbaki hampir setahun lagi? Kesemua persoalan itu boleh dijawab melalui situasi politik yang sedang berlaku sekarang khususnya di semenanjung Malaysia.

Meskipun Sabah dan Sarawak mempunyai sentimen borneo yang kuat agar politik semenanjung tidak mempengaruhi mereka, namun Sabah yang sejak tahun 1994 diperintah oleh parti semenanjung masih memerlukan pengaruh politik semenanjung untuk menentukan untung nasib parti tempatan Sabah. 

Di semenanjung, momentum kepada kerajaan perpaduan dilihat semakin baik dari setiap PRK ke setiap PRK. Misalnya, DUN Nenggiri memperlihatkan sokongan melayu bumiputera kepada kerajaan perpaduan semakin bertambah. Di DUN Mahkota pula, pihak kerajaan mendapat sokongan bergaya atas ramuan antara UMNO dan DAP. Sentimen rakyat kini bersama kerajaan perpaduan baik atas pelbagai faktor, maka Hajiji yang dilihat mahu bersama PH atau kerajaan perpaduan mesti menggunakan sentimen yang sedang berlegar itu untuk memaksimumkan sokongan rakyat kepada mereka.

Semakin lama Hajiji membiarkan DUN berjalan mungkin boleh mendedahkan kepada pelbagai situasi yang tidak akan menyebelahi Hajiji, maka sewajarnya Hajiji membubarkan DUN selepas pembentangan Belanjawan Negeri kelak. Persepsi positif daripada pembentangan belanjawan oleh Hajiji kelak akan membantu meningkatkan sokongan pengundi kepada Hajiji. Namun ia juga boleh dijadikan senjata kelompok anti-Hajiji untuk menyerang Hajiji semula dari sudut yang berbeza. 

Persoalannya, bagaimanakah bentuk pakatan yang bakal dibentuk di PRN Sabah memandangkan semua parti yang akan bertempur di Sabah kecuali PN Sabah dan beberapa parti kecil  lain merupakan satu komponen kerajaan perpaduan di Persekutuan? WARISAN sebagai pemenang PRN Sabah bagi siri ke-14 akan meneruskan cabarannya terhadap Hajiji dan GRS dalam siri kali ini. Manakala BN Sabah pula mahu kerjasama antara mereka dan PH diteruskan dalam PRN Sabah. 

GRS pula yang kini menerajui kerajaan negeri bersama PH mahu bersama menjalankan kerjasama berterusan termasuk dalam gelanggang PRN Sabah. Dilema yang bakal timbul adalah PH memandangkan BN dan GRS kedua-duanya mahu bersama PH tetapi mereka berseteru antara mereka. WARISAN pula meski berkerat rotan dengan PH masih bersama dalam kerajaan perpaduan diperingkat persekutuan.  

Bagi PH khususnya Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri pastinya mahukan kedua-dua seteru iaitu BN dan GRS bersama PH dalam satu gabungan.  Namun ia kelihatan sukar. Walaubagaimana pun, jika Anwar berjaya mendamaikan kedua-duanya dan bergerak dalam satu gabungan, ia boleh menobatkan Anwar sebagai politikus terhebat sekaligus bakal memenangi PRN Sabah kelak. 

Diyakini bahawa semua parti sedang berunding untuk membentuk kerjasama bagi meminimakan penjuru pertembungan bagi mengelakkan kebarangkalian untuk kalah serta merobek kesepaduan kerajaan perpaduan di persekutuan. Justeru itu semua pihak sedang bersiap sedia dengan format PRN yang bakal diadakan. PH Sabah pula perlu bersiap sedia bagi memastikan prestasinya sebagai peneraju kerajaan persekutuan di Sabah tetap membanggakan. 

Exit mobile version