
Dengan hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah diadakan, kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH)sedia ada wajar menekankan naratif ‘Suka Sama Rakyat’ dan bukannya sekadar ‘Suka Sama Suka’.
Bendahari BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, misi pakatan BN-PH itu seharusnya mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat Sabah, dan bukan sekadar kesenangan politik semata-mata.
“Sebarang pakatan politik perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau politik,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan sedang diadakan bagi memastikan BN-PH dan rakan tempatan bekerjasama untuk pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan peluang lebih baik di Sabah.
Bekas Ketua Menteri itu berkata BN Sabah juga akan mengekalkan kerjasama dengan rakan PH pada PRN akan datang, sejajar kerjasama mereka di peringkat persekutuan.
Beliau menegaskan komitmen BN Sabah terhadap kestabilan politik dan tadbir urus demi manfaat rakyat Sabah.
Menurutnya pendidiran itu telah dinyatakan secara terbuka oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin
“Pada masa sama, kami mengakui kepentingan mengadakan libat urus dengan parti tempatan untuk memastikan gabungan kuat dan padu di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Parti Warisan akan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri yang akan datang, kata presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sambil menegaskan partinya tidak mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik, Mohd Shafie berkata, pendirian Warisan sebagai parti berbilang kaum yang berkhidmat untuk semua rakyat Sabah adalah jelas.

“Kami akan bertanding sebagai sebuah parti dan perjanjian kami adalah dengan rakyat,” katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan selepas menghadiri Iftar Ramadan di Tungku pada Sabtu.