Program Pengasingan sampah kitar semula akan diperluaskan ke seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mulai tahun depan. Sasaran tersebut dinyatakan oleh Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ng Suee Lim selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn.Bhd di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13.
Kata Ng lagi, beliau mensasarkan tahun depan amalan ini akan diperluaskan ke PBT seluruh Selangor kerana dengan tindakan ini ia dapat mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada sampah yang dihasilkan. Beliau mengharapkan PBT lain cakna mengenai perkara ini termasuk pihak kerajaan negeri juga akan berusaha untuk memberi galakan da mendidik orang awam agar melakukan amalan kitar semula.
Beliau yang juga pemimpin DAP Selangor menjelaskan, usaha ke arah tersebut memerlukan perancangan yang sistematik dan pelaksanaan secara berperingkat mengikut PBT. Beliau turut memuji inisiatif kitar semula yang telah berjaya dilaksanakan oleh pihak MBSA dan menyeru agar PBT lain menjadikan program MBSA itu sebagai contoh yang perlu diikuti. – SelangorToday