SelangorToday

PROGRAM PENGISIAN WANITA, KELUARGA DI MASJID AKAN DI PERLUAS SELURUH SELANGOR – ANFAAL

Exco Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berhasrat untuk memperluaskan program pengisian berkaitan wanita dan keluarga di masjid seluruh Negeri Selangor. Jelas beliau pengisian melalui Program Imaarah Wanita dan Keluarga Madani Negeri Selangor yang pertama kali dianjurkan di Seksyen 7, Shah Alam itu akan dianjurkan secara bulanan dan diperluaskan seluruh negeri memandangkan manfaatnya besar. Tambah Anfaal lagi, program yang dianjurkan di masjid itu mengandungi pelbagai agenda menarik seperti kerohanian, forum kekeluargaan, perkongsian ilmu tanaman dan kelas mengurut.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Nasional itu turut berkata, program tersebut menjadi platform kepada kaum hawa untuk meneroka pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Dalam masa yang sama, beliau ketika merasmikan program tersebut memaklumkan dalam program inilah peranan dan khidmat Wanita Berdaya Selangor(WBS) sebagai agensi negeri Selangor yang memberdayakan golongan wanita agar mereka boleh dibantu. Program yang berlangsung di kawasan perumahan Exco kerajaan Negeri itu disertai hampir 50 wanita dari pelbagai latar belakang.

Sebelum ini Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Taman Templer telah melancarkan kempen Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak. Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga tertinggi di Malaysia, iaitu 4,690 kes berbanding negeri lain bagi tempoh 2020 sehingga Ogos 2022. Tema tahun ini, ‘Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak’ iaitu seiring dengan inisiatif antarabangsa di bawah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UN Women yang bertemakan ‘UNITE! Invest to prevent violence against women and girls’. – SelangorToday

Exit mobile version