Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan IADA Kota Belud yang dilancarkan pada Sabtu menyasarkan penanaman padi di kawasan seluas 100 hektar di daerah itu.
Projek model rintis menggunapakai teknologi dan cara kerja ladang terbaik seperti diamal oleh pesawah di Sekinchan, Selangor itu menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu akan diberi pemantauan bagi meningkatkan potensi keberhasilan sekaligus menjadi pemangkin semangat kepada para pesawah di Sabah dan Sarawak.
“Para pegawai kita akan pantau, lihat perkembangan termasuk daripada Bernas juga akan pantau bersama supaya, ia kita mahu benar-benar berjaya.
“Bila berjaya ia akan menjadi satu (pemangkin) semangat kepada pesawah di Sabah, mungkin juga di Sarawak bersama untuk meningkatkan hasil penanaman padi ini”, ujar beliau ketika ditemui media selepas merasmikan Program SMART SBB Ala Sekinchan IADA Kota Belud sempena Jelajah Road to MAHA @Sabah di sini.
Sebanyak 81 pesawah di 10 lokasi di Kota Belud telah menyertai Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah dan amalan pertanian terbaik.
Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam kenyataan memaklumkan projek rintis program itu di Jawi-Jawi, Kota Belud bermula pada 2022 telah meningkatkan pengeluaran padi daripada 2.6 metrik tan per hektar (TM/Ha) kepada 4.2 TM/Ha atau 62 peratus yang merupakan peningkatan signifikan kepada pendapatan pesawah.
BERNAS juga memaklumkan penambahan empat mesin baharu yang boleh digunakan oleh peserta SMART SBB Kota Belud dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini.
“Ini merupakan sumbangan keseluruhan syarikat menjadikan kepada sembilan mesin dan dua set peralatan pertanian bernilai RM1 juta. Inisiatif ini juga antara lain bertujuan meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras di Sabah,” katanya.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, BERNAS dan rakan kongsi lain kini mencakupi lebih 1,904 hektar di kawasan penanaman di 10 negeri memberi manfaat kepada 735 pesawah.