Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, YB Anfaal Saari hari ini merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-33 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Heights yang berlangsung meriah di Stadium Selayang.
Dalam ucapannya, YB Anfaal menekankan bahawa sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, malah merupakan elemen penting dalam membentuk sahsiah dan jatidiri generasi muda.
“Sukan bukan sahaja membina tubuh badan yang sihat, tetapi juga menanam semangat berpasukan, disiplin, dan daya juang yang tinggi — nilai-nilai ini amat penting dalam mendidik generasi masa depan yang cemerlang,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen guru-guru, pelajar serta ibu bapa yang bekerjasama menjayakan kejohanan tersebut, sambil mengakui suasana penuh semangat dan kekitaan yang ditunjukkan pada acara berkenaan.
YB Anfaal mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan pemenang, serta merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas penganjuran yang tersusun dan bersemangat. Beliau turut menyeru agar budaya sukan terus disuburkan dalam kalangan pelajar sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang aktif, berdaya tahan dan berdaya saing.
Kejohanan bertemakan “Sukan Juga Pendidikan” ini menjadi platform penting bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang olahraga, seiring dengan aspirasi membangunkan masyarakat #KitaSelangor dan mendukung nilai-nilai #MalaysiaMADANI.