Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan berpandangan, sikap prihatin dan kecaknaan Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor amat jelas apabila jumlah peruntukan dan projek yang telah dan akan dilaksanakan di DUN Dusun Tua bagi mengatasi masalah banjir diluluskan.
Melalui satu maklum balas ketika dihubungi oleh SelangorToday, Sany berkata hasil gabungan dua kerajaan yang prihatin dan responsif kepada masalah yang menimpa rakyat di Dusun Tua itu amat dihargai memandangkan kawasan Dusun Tua dibawah Parlimen Hulu Langat baru-baru ini kerap ditimpa bencana banjir.
Sany berkata demikian apabila Kerajaan Negeri melalui Exco Pertanian dan Infrastruktur Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor(DNS) memaklumkan projek tiga projek mitigasi banjir akan mula berjalan di Dusun Tua melibatkan peruntukan sebanyak RM21.5 Juta.
Manakala dibawah Kerajaan Persekutuan, Projek Rancangan Tebatan Banjir bagi Sungai Langat Fasa 2 melibatkan kawasan Hulu Langat dengan kos bernial RM512 Juta dibawah Rancangan Malaysia ke-12 telah diluluskan.
Oleh yang demikian, Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional menganggap kelulusan projek-projek tersebut termasuk melibatkan peruntukan yang besar itu adalah bagi memastikan risiko bencana banjir kurang berlaku di Hulu Langat serta mengurangkan impak bencana tersebut kepada masyarakat setempat.
Kata Sany lagi, dalam Sidang Dewan Rakyat semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika merasmikan Sidang Dewan awal tahun yang lalu, beliau telah membangkitkan isu banjir yang telah melanda kawasan Hulu Langat, lantas suara tersebut didengari baik diperingkatkan persekutuan mahupun negeri apabila kedua-dua kerajaan meluluskan pelbagai projek bagi mengelak bencana banjir. – SelangorToday