SelangorToday

Projek Tebatan Banjir Menyeluruh Di Sri Muda Sedang Dilaksanakan – Ir. Izham

SHAH ALAM, 8 Julai 2025 – [DN Selangor] Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa pelbagai projek tebatan banjir berskala besar sedang giat dijalankan di kawasan Sri Muda sebagai usaha menyelesaikan isu banjir yang berlarutan sejak sekian lama.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan di Dewan Negeri Selangor hari ini bahawa projek-projek mitigasi banjir di kawasan tersebut turut melibatkan pembangunan muka sauk (intake) bagi Loji Rawatan Air Sungai Rasau, serta penaiktarafan Sungai Rasau dan Sungai Klang.

Menurut beliau, kerja-kerja komponen muka sauk yang sebelum ini tertangguh akibat kejadian ban runtuh pada September 2024, akan dimulakan semula bulan ini selepas arahan Stop Work Order ditarik balik. Reka bentuk baru menggunakan teknologi moden seperti kaedah selular konfinemen dan flat web sheet telah diluluskan bagi mengatasi cabaran geoteknikal kawasan bertebing lembut.

“Kerja-kerja akan bermula Julai ini dan dijangka siap pada Januari 2026,” jelas beliau ketika menjawab soalan berkenaan status projek tebatan banjir di Sri Muda.

Selain itu, projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan kolam takungan dwi-fungsi yang bukan sahaja bertujuan sebagai langkah tebatan banjir, malah turut menjadi sumber bekalan air mentah bagi Loji Rawatan Air Sungai Rasau. Projek ini melibatkan komponen seperti penaiktarafan kolam sedia ada, pengukuhan tebing, pembinaan pintu air, dan sistem pam.

Dengan kos keseluruhan RM661.63 juta di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan, kerja-kerja fizikal telah pun bermula sejak Julai 2024 dan kini berada dalam fasa reka bentuk dan pelaksanaan.

Tambah Ir. Izham yang juga Pengerusi AMANAH Selangor itu, dua lagi projek khusus sedang dilaksanakan di kawasan Sri Muda. Pertama, Projek Rintangan Tempatan Banjir Sungai Klang di Seksyen 25 melibatkan kos RM140.72 juta. Projek ini merangkumi penaiktarafan kolam takungan, pembinaan flood wall dan komponen lain, serta dijangka dimulakan secara fizikal dalam masa terdekat.

Kedua, kerja-kerja Fasa 2 Projek Tebatan Banjir Sungai Rasau yang melibatkan kos RM18.62 juta telah dimulakan sejak Mei 2023 dan kini dalam fasa pembinaan. Fasa ini lebih menumpukan penaiktarafan Sungai Rasau, yang merupakan anak sungai kepada Sungai Klang dan berperanan penting dalam sistem saliran kawasan Sri Muda.

“Kesemua projek ini berjalan selari untuk memastikan masalah banjir di kawasan Sri Muda dapat ditangani secara menyeluruh dan bersepadu, sambil memenuhi keperluan bekalan air negeri,” tegas ADN Pandan Indah.

Sri Muda merupakan antara kawasan yang paling terjejas ketika kejadian banjir besar Disember 2021, dan sejak itu, pelbagai usaha mitigasi giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan

Exit mobile version