Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir.Izham Hashim menyatakan bahawa kerajaan Selangor sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek tebatan banjir sungai buloh secara menyeluruh. Kata beliau, kelulusan projek ini pada tahun 2017 memakan kos sebanyak RM600 juta, namun kerajaan pusat hanya memberikan peruntukan sebanyak RM50 juta sahaja. Sebaliknya pada masa kini, kos projek ini telah pun mencapai anggaran RM760 juta dan Selangor masih memohon kepada Putrajaya. Ir.Izham yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri(ADN) Paya Jaras, Dr. Halim Bin Tamuri yang mahu kerajaan negeri menyatakan cabaran dan usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir di Paya jaras.
Beliau berkata, akibat daripada peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan kerajaan negeri melaksanakan projek naik taraf sungai secara berfasa mengikut kawasan yang paling kritikal di Sungai Buloh. Sungai Buloh antara lembangan sungai yang terbesar di Selangor merangkumi 4 daerah iaitu Gombak, Klang, Petaling dan Kuala Selangor itu mengalami pelbagai faktor menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan sekitar. Antaranya kepesatan pembangunan di Gombak serta pertembungan antara air pasang dan hujan lebat di Kuala Selangor. Oleh itu, Pengerusi AMANAH Selangor menambah, projek fasa 1 telah dilaksanakan di Kuala Selangor bagi meredakan masalah yang timbul dan dijangka akan selesai menjelang April 2024.
Mengulas usaha yang kerajaan negeri lakukan untuk meminimakan banjir yang berlaku di Paya Jaras, Izham yang juga ADN Pandan Indah berkata, selain kerja naik taraf sungai, projek pengukuhan tebing juga dilakukan bagi anak-anak sungai dan penyelenggaraan kolam-kolam takungan mesra alam di Subang Bestari. Beliau juga turut memaklumkan bahawa naik taraf Sungai Subang mengalami kelewatan akibat pencerobohan dan akan dimulakan pada mac atau april 2024. – SelangorToday