Kes saman fitnah tiga pemimpin DAP terhadap Ahli Parlimen Pas Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad akan mula dibicarakan di mahkamah pada 2 September depan.
Keputusan itu dibuat selepas Pengerusi DAP Lim Guan Eng, veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Dr Siti Mastura gagal mencapai persetujuan menyelesaikan saman fitnah melalui proses mediasi.
Peguam Datuk Sankara Narayanan Nair yang mewakili Guan Eng, Kit Siang dan Kok berkata proses mediasi bermula 11 pagi, tetapi sesi ini tidak berjaya setelah semua pihak tidak dapat mencapai persetujuan.
“Kita akan ke mahkamah untuk perbicaraan, namun kami tidak boleh mendedahkan lebih banyak. Perbicaraan akan bermula pada 2 September . Ia akan menjadi perbicaraan bersama, ia telah digabungkan,” katanya selepas proses mediasi di luar Bilik Mediasi Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Turut hadir Siti Mastura dan peguamnya Mohd Faizi Che Abu.
November lalu, media melaporkan ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura, berhubung ucapan beliau dalam ceramah ketika Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew. — BebasNews