Industri Halal merupakan industri yang kian berkembang pesat sama ada di Malaysia mahupun di pelusuk dunia. Mahu tidak mahu, industri ini turut menjadi perhatian umum seiring dengan populasi masyarakat Islam yang kian melebar dari hari ke hari.
Ada pun begitu banyak perdebatan atau isu yang masih berbangkit dalam kerangka menyediakan pengukuhan industri halal itu sendiri termasuk di Malaysia. Saban tahun bajet terhadap pelaksanaan insiatif mengembangkan industri ini dibentangkan. Kerajaan MADANI bukan sahaja tekad untuk memacu pertumbuhan ekonomi semata-mata malah lebih utama turut memperkukuhkan industri halal sebagai salah satu teras ekonomi Malaysia.
Terkini dalam Belanjawan MADANI 2025, kerajaan menyediakan RM600 juta melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad(BPMB) dan SME Bank yang menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal yang pastinya akan merangsang industri halal dalam kalangan PMKS.
Ketika membahaskan Belanjawan MADANI 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdangan dan Industri, ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof berkata industri halal ini bakal menjadi industri yang besar dan berimpak tinggi dalam ekonomi Malaysia apabila industri ini mampu dijangka akan mencecah RM500 bilion bagi tahun 2030. Nilai itu akan menyumbang 8.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) Malaysia.
Disamping itu, kepesatan industri halal ini kata Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor bukan hanya terletak kepada produk makanan semata-mata, namun ia turut merangkumi produk kosmetik atau kecantikan. Maka dengan perkembangan pelbagai keluaran dalam industri halal akan meeluaskan potensi industri halal menjadi satu sektor penting kepada ekonomi negara.
Pengembangan industri halal merupakan satu situasi yang boleh dijadikan pemangkin kepada kebangkitan Malaysia sebagai harimau asia baik dari segi ekonomi mahupun pembangunan negara. Jelas pula daripada tingkah laku dan dasar yang dibentangkan oleh kerajaan, kerajaan bersedia untuk menngukuhkan industri ini dan bersedia memanfaatkan perkembangnya demi kemajuan negara.
Dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035(PuTERA35) menyenaraikan industri halal dan makanan merupakan sektor berpotensi yang akan diterokai oleh kerajaan Malaysia. Melalui pelan tersebut, industri halal diyakini mampu membantu negara mencapai status berpendapatan tinggi disamping memperkasakan taraf hidup kelompok melayu bumiputera.
Adapun begitu persoalan yang mungkin timbul, apakah inisiatif yang sesuai dan berimpak tinggi boleh dibuat kerajaan dalam meneruskan prospek kemajuan industri ini selaras dengan tekad yang dibuat oleh kerajaan?
Ketika membahaskan Belanjawan MADANI untuk tahun 2025, Hj Azli yang juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional melontarkan cadangan agar kursus pengurusan halal ini diperbanyakkan di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi. Kata beliau, usaha untuk memperkasakan industri ini mesti disambut demi penyediaan sumber manusia yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam industri halal.
Beliau turut menjelaskan, kursus ini wajar diperbanyakkan di peringkat IPT serta menjadi kursus arus perdana yang mendapat sokongan masyarakat. Peluang ini terbuka luas untuk generasi pelapis negara meneroka pelbagai aspek industri halal. Lebih menarik lagi, penyenaraian kursus ini di IPT membolehkan generasi pelapis dikalangan bukan Islam juga untuk menceburinya.
Tambahan lagi, untuk mengangkat negara sebagai salah satu negara pemacu industri halal yang besar dan hebat, kursus ini boleh ditawarkan juga kepada penuntut-penuntut daripada luar negara yang ketika ini, industri halal menjadi tarikan minat buat negara-negara bukan bermajoriti Islam. Satu yang menarik harus diperhalusi apabila industri halal menjadi tumpuan negara bukan Islam. Justeru itu peluang tersebut harus dimanfaatkan sehabiskan baik oleh Malaysia sebagai salah sebuah negara teladan bagi industri tersebut.
Selain itu, Hj Azli juga turut mencadangkan agar hab halal di Malaysia terus diperkasakan. Misalnya, dicadangkan supaya hab halal ini terdapat di setiap negeri dan wilayah yang ada di Malaysia. Ketika ini Selangor antara negeri yang telah mempunyai hab halalnya. Oleh itu mewujudkan hab halal di setiap negeri dan wilayah dalam Malaysia akan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan industri ini disamping bersedia untuk memacu pendapatan tinggi melalui industri halal.
Walau bagaimanapun, usaha untuk mewujudkan hab halal di seluruh negeri dan wilayah di Malaysia mestilah berasaskan kepada keseimbangan limpahan ekonomi tersebut antara bandar dan luar bandar. Ertinya, lebih baik dan bermanfaat jika hab tersebut diwujudkan di kawasan atau daerah yang hendak dibangunkan. Daerah tersebut mungkin dianggap luar bandar, justeru pemilihan kawasan tersebut menyediakan ruang buat kerajaan menambah nilai melalui penyediaan kemudahan infrastruktur dan pembangunan setempat.
Akhirnya industri halal mampu menjadi salah satu cabang yang memacu perkembangan ekonomi negara yang bermatlamatkan untuk menjadi salah sebuah negara berpendapatan tinggi. Dalam masa yang sama, pemerkasaan industri halal membuktikan bahawa Malaysia juga negara yang mendokong institusi kewangan Islam serta amalan patuh syariah.
Dalam negara yang majoriti umat Islam, tanpa sebarang retorik, teras syariah diangkat sebagai agenda negara. Kelompok melayu bumiputera juga segmen yang disasarkan untuk dibangunkan seiring kepesatan industri ini. Manakala melalui PMKS, rakyat kelas sederhana dan terbawah akan dibela dengan pelbagai fasiliti dan ransangan atas nama industri halal.
Rencana Rasmi
Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional