AMANAH Negeri Selangor yang merupakan parti komponen dalam HARAPAN telah pun bersedia mencipta kejayaan buat kali kedua melalui Pilihan Raya Umum yang akan diadakan bila-bila masa. Malah AMANAH Selangor yang telah memasuki usia 7 tahun itu akan membantu HARAPAN mengekalkan pembentukan kerajaan Selangor dengan majoriti selesa dan menyumbang kepada pembentukan kerajaan persekutuan. Perjumpaan yang diadakan secara berlaku bersama semua petugas jentera Pilihan Raya AMANAH Selangor telah memperlihatkan kesediaan AMANAH Selangor untuk bertempur dengan pihak lawan walaupun dengan pelbagai penjuru.
Pengarah Pilihan Raya AMANAH Selangor, Hj A.Yazid Alias berkata, AMANAH Selangor perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan tarikh pembubaran parlimen boleh dilakukan pada bila-bila masa. Seluruh jentera AMANAH Selangor juga telah pun memulakan gerak kerja ke akar umbi untuk mengenalpasti kecenderungan pengundi dan memulakan komunikasi pemujukan kepada pengundi-pengundi baru. Dalam masa yang sama, Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengingatkan para jentera parti untuk sentiasa berdoa dan berusaha sehabis baik untuk memastikan setiap kerusi yang ditandingi akan dimenangi oleh AMANAH dan HARAPAN.
Pertemuan bersama jentera AMANAH Selangor itu juga menampilkan Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari sebagai pembicara yang berkongsi pengalaman dan nasihat memandangkan Adly telah pun bertempur dalam Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu. Adly juga berkata, AMANAH merupakan parti masa depan di Malaysia memandangkan AMANAH mempelopori politik nilai sebagai asas perjuangan AMANAH. Bekas Ketua Menteri Melaka itu juga berkeyakinan meski ada cabaran yang dapat dilihat melalui pertembungan beberapa penjuru dalam PRU akan datang, tetapi dengan pengukuhan parti-parti dalam HARAPAN yang mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk menyokong HARAPAN. – Selangor Today