SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Shah Alam bersiap siaga menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal dan bersekali dengan Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor.
Sehubungan itu, Amanah Shah Alam menganjurkan Pemukiman Ahli Jawatankuasa Pimpinan Kawasan bersama sayap Pemuda, Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Wanita Muda (WARDA) serta ketua-ketua cawangan pada 28 Februari hingga 1 Mac 2026 di Batang Kali sebagai langkah memperkukuh persiapan.

Program dua hari itu memberi tumpuan kepada penelitian menyeluruh terhadap angka dan data pilihan raya lalu termasuk pola pengundian mengikut saluran, demografi, lokaliti serta tren sokongan berdasarkan pusat daerah mengundi (PDM).
Analisis berkenaan turut mengambil kira pemboleh ubah semasa yang berpotensi mempengaruhi kecenderungan pengundian seperti isu kos sara hidup, persepsi terhadap prestasi kerajaan, sentimen anak muda serta impak komunikasi digital.
Dalam masa sama, Amanah Shah Alam memberi perhatian terhadap lebih 20,000 pengundi baharu pertama kali di kawasan berkenaan yang disifatkan lebih bebas dan membuat penilaian berdasarkan isu serta tawaran masa depan. Kelompok itu dilihat memerlukan pendekatan lebih autentik, berfakta dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.

Pemukiman tersebut turut merangka strategi gerak kerja lebih awal dan tersusun secara berfasa dengan fokus kepada pengukuhan jentera di peringkat cawangan dan PDM, peluasan program komuniti, pengaktifan sukarelawan muda serta pemantapan naratif dasar dan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Amanah Shah Alam menegaskan tekad mempertahankan kemenangan PH di Shah Alam pada PRU16, selain menyasarkan mandat lebih kukuh menerusi pendekatan berstrategi, berasaskan data dan berteraskan khidmat kepada rakyat.
Ketua Amanah Shah Alam, Azli Yusof berkata demikian dalam kenyataan media hari ini.