The Global Sumud Flotilla sets sail from Barcelona towards Gaza, in Barcelona, Spain, on August 31, 2025. Hundreds gather at Moll de la Fusta to bid farewell to the flotilla, with dozens of boats and thousands of supporters wearing kufiyas (Palestinian scarves) and waving flags. (Photo by Albert Llop/NurPhoto) (Photo by Albert Llop / NurPhoto via AFP)
Di dada laut bergemuruh tangis lama
Gaza merintih di balik dinding runtuhnya keinsanan
Asap dan debu mengajar anak derita
Duka terukir, malam menelan siang yang malang
Tiada taman untuk kanak tawa bebas gembira
Hanya reruntuh, hanya senyum yang terkunci rapat muram duka
Ibu-ibu berjaga malam menahan sabar
Anak-anak menunggu roti, bukan peluru tajam yang menyiat luka nestapa
Kami datang bukan untuk menabur api atau dendam
Hanya membawa bekal, ubat, dan salam doa
Perahu kecil bertatah keberanian bukan semboyan
Menghadapi kezaliman parah yang menutup lorong segala rasa
Layar kami tertulis dengan nama Sumud Nusantara
Anak Malaysia dan warga dunia, teguh hati menaruh misi kemanusiaan
Langkah kecil memecah tembok sekatan yang kejam
Menjadikan laut jambatan, bukan benteng penindasan
Dinaungi Pemimpin Negara yang berhati waja
Gelombang ombak memukul, namun keteguhan tak lapuk
Setiap dayung seolah takbir lembut menantang malam
Sekeping roti jadi saksi, sekuntum senyum disuluh
Bahawa keberanian lahir dari belas, bukan dari amarah yang dalam
Kami bukan pahlawan dengan pedang menggila
Kami pahlawan yang mengangkat cinta dan kasih sayang
Menerobos malam merawat luka lama
Mengikat kembali harapan di dada yang penuh derita siksa
Tembok sekatan bukan batu semata-mata
Ia penjara jiwa, ia pengasingan nurani
Kami belah sekatan itu dengan kasih yang nyata
Hingga pintu-pintu nur terbuka, bukan sekadar ilusi
Lihatlah mata mereka laut menyejuk rindu
Ada nama, ada cerita, ada janji yang terbantut
Kami hulur tangan, bukan untuk menggantikan pilu
Tetapi untuk menyalakan kembali api yang hampir padam itu
Wahai dunia yang melihat di dada langit
Bangunlah dari lena, jadikan laut bukan saksi bisu
Biarlah solidariti jadi ombak yang tak pernah sirna
Memecah sekatan, memecah sunyi, membina jalan baru
Flotila lain datang, satu demi satu berlayar atas nama berbeza
Tiada jemu, berterusan menuntut pintu dibuka
Laut dipenuhi suara yang takkan pudar
Hingga Gaza terbuka, dan derita terlerai luka
Ya Rabb, peliharalah pelayaran mereka yang suci
Kurniakan selamat bagi mereka yang membawa amanah
Jadikan keberanian kami cermin rahmah yang hakiki
Agar Gaza bernyawa kembali tanpa derita dan marah
Di hamparan laut, nama Sumud berkekalan
Bukan sekadar perahu kerana ia lautan cita dan janji
Anak Malaysia menempuh kezaliman parah dengan hati berani
Membuka lorong lantas mengembalikan senyum yang sepi
Sumud di lautan harap ini tetap bersuara
Hingga tembok sekatan luruh oleh belas kasih dan doa
Kerana di mana ada cinta yang menolak noda bara
Di situ lahir kebebasan dan panji merdeka
SM Ismail
05 Oktober
Gombak, Malaysia