Program jualan murah anjuran bersama Kerajaan Negeri dan persekutuan diadakan bermula hari ini di sini bagi membantu rakyat kurang berkemampuan mendapatkan barangan asas.
Menteri kos sara hidup menjelaskan program Jualan Mega Ehsan Rahmah menumpukan tujuh jenis keperluan harian seperti ayam dan telur, yang dijual 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Menurut Datuk Seri Salahuddin Ayub, inisiatif itu digabungkan dengan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang dilaksana Kerajaan Selangor di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun lalu.
“Program ini akan memberi satu lagi kegembiraan untuk rakyat Selangor. Melalui sinergi jualan murah ini, ia akan menguntungkan rakyat dengan penjimatan sehingga 30 peratus,” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas pelancaran program itu di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Salahuddin berkata lokasi jualan akan ditentukan pusat khidmat masyarakat.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama tersebut memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan asas pada harga murah dengan lebih kerap.
Beliau menambah pentadbiran negeri juga akan memastikan bekalan dalam pasaran sentiasa terkawal terutama musim perayaan untuk memudahkan rakyat membeli keperluan.
“Gabungan program Jelajah Ehsan Rakyat dan Jualan Rahmah mampu mewujudkan tempoh intervensi bagi mengelak gangguan bekalan di pasaran,” katanya.
Barangan yang dijual ialah ayam (RM10 seekor), ikan (RM6/pek), daging (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), beras lima kilogram (RM10), minyak masak lima kilogram (RM25) dan gula sekilogram (RM2.50).