Pusat Wanita Berdaya (PWB) Hulu Kelang sedang menganjurkan program ‘Infaq Mangkuk Tingkat Ramadan’ sebagai aktiviti bersedekah orang ramai kepada yang memerlukan. Program yang mendapat kerjasama antara PWB Hulu Kelang dan NGO Kelab Budayawan Aktif Gombak itu mengamalkan konsep sedekah juadah berbuka bagi keluarga yang kurang berkemampuan sekitar Hulu Kelang.
Infaq makanan tersebut melibatkan kos sebanyak RM60 sekeluarga yang dianggarkan 4 hingga 5 orang ahli sekeluarga. Penyelia PWB Hulu Kelang Puan Rosmayana Abd Rahim menegaskan bahawa PWB Hulu Kelang sentiasa komited untuk menyantuni masyarakat pelbagai lapisan dan mengenali mereka yang sentiasa memerlukan keperluan asas makanan sama ada dikalangan asnaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Komitmen ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang baru ingin memulakan proses kehidupan semula setelah pandemik melanda. PWB yang merupakan agensi dibawah seliaan kerajaan negeri Selangor khusus untuk memperkasakan golongan wanita serta memartabatkan wanita dalam pelbagai sektor bergerak keseluruh pelusuk negeri Selangor untuk menjalankan khidmatnya. Rosmayana berharap program ini mampu memberi kegembiraan kepada mereka untuk merasai juadah berbuka sama seperti insan yang lain.