SelangorToday

RAFIZI DEDAH KELUARGA MENTERI TERLIBAT SKANDAL LCS

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan penglibatan keluarga menteri yang terlibat dalam skandal LCS. Dalam satu pendedahan bertulis di laman sosial beliau, Rafizi berkata, keluarga menteri yang terlibat adalah isteri kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) daripada parti UMNO melompat ke BERSATU, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad. Ketika penyelewengan ini berlaku, Dr. Abdul Latif merupakan Timbalan Menteri Pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013. Isteri Dr. Abdul Latif, Zainab Mohd Salleh merupakan pemilik syarikat Alizes Marine Limited yang didakwa Rafizi sebagai syarikat palsu yang ditubuhkan untuk melakukan aktiviti penyelewengan melibatkan LCS.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, meskipun makluman berkaitan syarikat Alizes Marine Limited tidak boleh disemak kerana syarikat yang diwujudkan berstatus syarikat persisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki, namun kewujudan syarikat dan butiran syarikat tersebut terdedah apabila dibocorkan oleh pemberi makluman sehingga menjadi skandal besar dunia yang juga dikenali sebagai Panama Papers. Maka maklumat yang terdedah itu membuktikan bahawa Zainab Mohd Salleh merupakan orang kuat syarikat Alizes Marine Limited.

Rafizi juga turut menambah, ada beberapa penyelewengan yang dikesan melibatkan projek LCS ini. Pertama, syarikat Alizes Marine Limited dilantik menjadi juru runding teknikal kepada projek ini sedangkan syarikat ini tidak pun mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. Kata Rafizi, syarikat Alizes Marine Limited menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan melibatkan penyelewengan berjumlah RM23.37 juta pada tahun 2011 hingga 2014. Lebih mengejutkan, Alizes Marine Limited dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu pula berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan sedangkan mereka tidak pun mempunyai lesen tersebut. – Selangor Today

Exit mobile version