 
                KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memperkenalkan beberapa reformasi besar dalam sistem pendidikan negara, yang menurutnya bakal mengubah landskap pendidikan secara menyeluruh dalam tahun-tahun mendatang.
Antara perubahan utama yang diumumkan termasuklah pelaksanaan pendidikan prasekolah wajib bermula pada umur lima tahun, yang akan ditawarkan secara universal dan disediakan di semua sekolah kerajaan di seluruh negara.
“Ini akan mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang selama ini terpaksa menanggung kos yuran prasekolah yang tinggi. Prasekolah wajib ini akan menjadi hak rakyat, bukan kemewahan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan sekolah rendah akan bermula pada umur enam tahun, manakala pendidikan menengah akan tamat pada umur 16 tahun, sekali gus membolehkan pelajar menyertai tenaga kerja lebih awal—sesuatu yang penting bagi negara yang sedang menuju status negara menua.
Selain itu, RMK13 turut memberi penekanan kepada peningkatan kompetensi guru melalui proses penilaian dan latihan berterusan, setaraf dengan amalan profesional lain seperti dalam bidang perubatan dan guaman.
“Kita selalu tukar silibus, tapi kalau guru tidak dilatih dengan baik untuk menyampaikannya, ia tak akan berkesan. Banyak peruntukan selama ini ditumpukan kepada pembangunan fizikal, sedangkan pelaburan kepada guru masih kurang,” jelas Rafizi.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan kanak-kanak pada umur 4 hingga 7 tahun adalah fasa paling kritikal dari sudut pembelajaran, justeru langkah memperkenalkan prasekolah wajib akan memberikan asas pendidikan yang kukuh kepada generasi muda.
Antara perubahan spesifik dalam RMK13 yang diketengahkan Rafizi ialah:
- Penambahan mendadak kemudahan prasekolah di sekolah kerajaan bermula tahun 2026.
- Penyusunan semula masa persekolahan dan silibus, di mana murid darjah satu akan mula pada umur enam tahun dan tamat persekolahan pada umur 16 tahun.
- Transformasi Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai pusat latihan kompetensi guru secara berterusan, menggantikan fungsi tradisionalnya melatih lepasan sekolah menjadi guru.
“Bagi keluarga yang ada anak berumur tiga tahun ke bawah, sekarang ini mereka sudah boleh membayangkan anak mereka akan memasuki prasekolah wajib pada usia lima tahun,” tambah Rafizi.
Reformasi ini dijangka bukan sahaja meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga menangani cabaran ekonomi masa hadapan dengan melahirkan tenaga kerja muda yang lebih bersedia dan cekap.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            