SelangorToday

RAFIZI MULAKAN KEMPEN PRU 15 JULAI INI

Menunaikan janjinya minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, mengumumkan akan mula berkempen menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada 1 Julai ini. Beliau berkata, kempen itu akan dilaksanakan secara tersusun setiap minggu mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

Rafizi Ramli

Minggu lalu, Rafizi berjanji mengumumkan gerak kerja bagi menghadapi PRU-15 walaupun keputusan rasmi Pemilihan PKR ditangguhkan selepas Kongres Nasional parti diadakan Julai nanti. Rafizi berkata, melalui kempen itu, tumpuan utamanya adalah untuk meyakinkan pengundi dari tiga kumpulan. Kumpulan itu, katanya, adalah pengundi tegar PKR dan Pakatan Harapan (PH) di kerusi utama yang perlu dipertahankan; kedua, pengundi atas pagar yang mengundi di kerusi utama yang perlu dipertahankan. Katanya, ketiga, pengundi kali pertama (dalam kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini) di kerusi utama yang perlu dipertahankan.

Rafizi berkata, PKR dan PH juga perlu berjaya memikat kembali lima peratus pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU-14 untuk kembali mengundi. Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan menggunakan slogan ‘Ayuh Malaysia’, kempennya itu mengambil kira tahap kelesuan pengundi terhadap parti politik sedia ada.

Jadual kempen mengikut bandar dan kerusi Parlimen membabitkan dua pendekatan iaitu kempen dengan trak secara ceramah kepada orang ramai untuk menarik minat rakyat dan diskusi dengan kumpulan tertentu mengenai isu khusus yang diadakan di dalam dewan. Kempen juga disiarkan secara langsung melalui laman media sosial untuk diikuti seluruh rakyat Malaysia. Rafizi menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia yang pernah menjadi sukarelawan, atau yang ingin menyumbang untuk hadir sebagai sukarelawan dan menyertai latihan pusat pada 2 Julai ini.

Exit mobile version