SelangorToday

RAHMAH TERHADAP SAUDARA SESAMA INSAN

Islam adalah agama yang mengangkat nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, keadilan, dan keharmonian sesama insan. Dalam konteks hubungan antara muslim dan bukan Islam, sifat rahmah (belas kasihan) sangat ditekankan, menjadikan hubungan ini bukan sahaja berbentuk toleransi tetapi penuh dengan keadilan dan kasih sayang. Bukan Islam dianggap sebagai mad‘u (sasaran dakwah) dan juga sebagai saudara sesama insan serta rakyat dan rakan senegara yang sama-sama membangun dan mempertahankan tanah air.

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menegaskan peranan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai pembawa rahmat untuk seluruh alam. “Dan Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107)

Ayat ini menunjukkan bahawa rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW mencakupi seluruh manusia, tidak kira mereka beriman atau tidak. Rahmah bukan sekadar belas kasihan tetapi juga keadilan, kebijaksanaan, dan keprihatinan dalam menjalinkan hubungan antara manusia.

Allah SWT juga menegaskan pentingnya sifat lemah lembut dalam berurusan dengan manusia:

Firman Allah “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah-lah engkau (wahai Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka; dan kalaulah engkau bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu.” (Surah Ali Imran: 159)

Ayat ini menjadi pedoman dan tunjuk ajar bagaimana sikap yang sebenarnya dalam pergaulan sesama umat manusia samada beragama Islam ataupun sebaliknya.. Sifat rahmah dan lemah lembut mampu menarik hati manusia kepada kebenaran, sedangkan sikap kasar hanya akan menjauhkan mereka.

Rasulullah SAW pula pernah bersabda berkenaan peri pentingnya  rahmah dalam kehidupan bermasyarakat: ” الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dan terdapat dalam Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Adab, Hadis No. 6013. “Orang yang berbuat rahmah akan dirahmati oleh Allah Yang Maha Pengasih. Maka rahmatilah mereka yang ada di bumi, nescaya Allah yang di langit akan merahmati kamu.”

Terdapat juga segelintir kecil umat Islam yang memahami teks di dalam Al-Quran yang diturunkan sewaktu perang dan jihad ditafsirkan sendiri dan bukan di dalam keadaan aman , tiada permusuhan dan perlawanan. Dalil Ayat Surah Al-Baqarah, ayat 193:”Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah (kekacauan), dan agama hanya untuk Allah semata-mata. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan kecuali terhadap orang-orang yang zalim.”. Malang sekali dalil ini digunakan untuk memusuhi bukan Islam dalam semua keadaan di dalam sebuah negara yang aman dan terikat dengan undang-undang. Ada juga ucapan seseorang yang menyebutkan bahawa mengambil harta orang bukan Islam adalah halal.

Sebagai sebuah negara berdaulat hanya pemerintah yang boleh menetapkan sesuatu tindakan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang dan bukannya tafsiran sendiri oleh seseorang individu terutama oleh yang jahil terhadap agama Islam.

Sebaliknya dalam konteks negara kita, rakan bukan Islam adalah mad‘u yang perlu didakwahkan dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Firman Allah SWT:

 “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl: 125)

Ayat ini menunjukkan bahawa pendekatan dakwah kepada belum menerima Islam hendaklah berasaskan kebijaksanaan, dialog, ilmu dan akhlak yang mulia. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh bagaimana Baginda berdakwah dengan lemah lembut dan penuh rahmah.

Sebagai contoh, Baginda tetap bersikap lunak terhadap penduduk Taif walaupun mereka menghinanya. Ketika para malaikat menawarkan untuk menghancurkan penduduk Taif, Baginda menolak dan berkata:

 “Aku berharap semoga Allah akan mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.” (Hadith Riwayat Al-Bukhari, no. 3231; Muslim, no. 1795. Status: Sahih)

Pendekatan rahmah ini membuktikan bahawa misi Islam adalah menyelamatkan manusia daripada amalan syirik dan kesesatan dengan cara yang penuh belas kasihan, bukan dengan cara kekerasan atau paksaan untuk memeluk agama tauhid ini.

Selain menjadi mad‘u, bukan Islam juga adalah saudara sesama insan dan rakyat serta rakan dalam sebuah negara. Islam mengiktiraf persaudaraan kemanusiaan berdasarkan hakikat bahawa semua manusia berasal daripada satu keturunan:

“Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan pasangannya (Hawa); dan daripada kedua-duanya Allah memperkembang-biakkan lelaki dan perempuan yang ramai.”(Surah An-Nisa’: 1)

Dalam Piagam Madinah, Rasulullah SAW mengiktiraf bukan Islam sebagai sebahagian daripada masyarakat Madinah dengan hak dan tanggungjawab yang sama. Piagam ini melindungi hak-hak bukan Islam untuk hidup aman, mengamalkan kepercayaan mereka, dan menikmati keadilan.

Sikap ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang menyakiti seorang mu‘ahid (bukan Islam yang hidup aman di bawah pemerintahan Islam), maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 3052. Status: Sahih menurut Imam Al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, no. 445)

Hadith ini menunjukkan betapa Islam memuliakan hubungan antara Muslim dan bukan Islam, menekankan prinsip keadilan, dan melarang sebarang bentuk kezaliman.

Di Malaysia, rahmah terhadap bukan Islam adalah asas untuk membina negara yang aman dan makmur. Beberapa langkah praktikal yang mencerminkan rahmah terhadap bukan Islam termasuk menjamin Hak kewarganegaraan, memupuk dialog antara Agama dan memberi kebajikan tanpa diskriminasi.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa membezakan agama. Sabda Baginda:”Bukanlah seorang mukmin jika dia kenyang sementara jirannya kelaparan di sisinya.”(Hadith Riwayat Al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad, no. 112. Status: Sahih menurut Imam Al-Albani dalam Sahih Adab al-Mufrad)

Kita juga wajar mendidik generasi muda masa kini akan hakikat dan konsep toleransi yang sebenarnya.  Pendidikan tentang rahmah dan toleransi harus diterapkan di semua peringkat, untuk melahirkan generasi yang memahami kepentingan keharmonian antara kaum dan agama.

Sikap rahmah terhadap bukan Islam adalah cerminan ajaran Islam yang syumul dan indah. Sebagaimana firman Allah SWT, sikap lemah lembut adalah kunci untuk menarik manusia kepada kebaikan dan kebenaran. Dengan menjadikan rahmah sebagai asas hubungan, umat Islam dapat menampilkan Islam sebagai agama yang damai dan membawa rahmat kepada semua. Rahmah bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara Muslim dan bukan Islam, tetapi juga menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk. Sebagaimana rahmah Allah SWT meliputi seluruh makhluk-Nya, umat Islam perlu memastikan rahmah mereka juga meliputi seluruh insan, tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa.

Hj Shamsul Maarif bin Ismail

Exit mobile version