SelangorToday

RAJA KAMARUL BAHRIN CADANG KEMUKA CALON MUKA BARU DI PRK KEMAMAN

Sudah tiba masanya calon muka baharu dan anak muda yang berpotensi menang wajar bertanding di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berpandangan semua pihak perlu melakukan perubahan demi kebaikan jangka masa panjang jika mahu sekurang-kurangnya ada seorang wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan dari negeri itu.

“Sekarang ini apabila lihat trend dan keperluan semasa, ramai yang mahukan orang muda pada masa hadapan, maka itu kriteria penting dalam melakukan suatu pembaharuan.

“Jangka masa panjang ini, kita kena buka ruang kepada siapa (muka baharu) yang terbaik di kawasan tersebut. Kalau ada calon yang sesuai maka perkara itu perlu perbincangan bersama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Exit mobile version