
Kuala Lumpur, 28 Mei 2025 – Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional, Aishah Zain menyuarakan rasa terguris dan kecewa susulan insiden tular membabitkan seorang murid sekolah rendah yang dimarahi secara terbuka oleh beberapa guru di kantin sekolah, baru-baru ini.
Menurut Aishah, video berdurasi pendek yang menunjukkan murid tersebut dalam keadaan menangis dan tertekan telah mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila tindakan itu dikatakan berpunca daripada isu antara ibu murid dan pihak guru.
“Lebih mendukacitakan, situasi tersebut turut dirakam tanpa kebenaran dan dikongsi kepada umum. Ia bukan sahaja bercanggah dengan etika perguruan malah turut mencetuskan persoalan serius berkenaan pelanggaran hak kanak-kanak dan privasi data peribadi,” tegas beliau dalam satu kenyataan media.

Beliau menegaskan bahawa tindakan memarahi murid berusia sembilan tahun secara terbuka, beramai-ramai, dan dalam suasana yang memalukan bukanlah pendekatan yang sesuai dalam sistem pendidikan moden. Teguran, katanya, perlu dibuat secara berhemah, tertutup dan bersifat mendidik, bukan menghukum secara emosi.
“Kanak-kanak pada usia itu berada dalam fasa perkembangan emosi yang sangat rapuh. Tindakan tidak sensitif sebegini berpotensi mencetus trauma jangka panjang,” jelasnya.
Menurut laporan, murid terbabit dilaporkan mengalami trauma, tidak hadir ke sekolah selama hampir sebulan dan hilang minat terhadap subjek yang diajar oleh guru terlibat. Aishah menyifatkan perkara itu sebagai kegagalan sistem pendidikan dalam menjamin keselamatan emosi pelajar.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat, menyeronokkan dan menyuburkan keyakinan diri murid. Apabila pelajar merasa terancam di sekolah, sistem pendidikan akan kehilangan kepercayaan awam,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar pihak sekolah menjalankan siasatan dalaman secara telus dan menyeluruh. Sekiranya terdapat pelanggaran tatakelakuan profesional, tindakan disiplin sewajarnya perlu diambil mengikut prosedur.
Beliau turut mengingatkan para pendidik agar kembali merujuk kepada asas pedagogi yang menekankan pendekatan kasih sayang, pemulihan dan pembinaan sahsiah, bukan menjatuhkan maruah pelajar di khalayak ramai.

“Penghormatan terhadap profesion perguruan tidak datang hanya melalui gelaran, tetapi melalui akhlak, integriti dan kebijaksanaan. Insiden ini tidak wajar dijadikan alasan untuk mengecam semua guru, tetapi ia perlu ditangani dengan berani agar tidak menjadi norma dalam sistem pendidikan,” ujar Aishah lagi.
Akhir kenyataan, Aishah menyeru semua pihak – guru, ibu bapa dan pentadbiran sekolah – agar kembali menjalin komunikasi yang matang dan saling menghormati demi kesejahteraan anak-anak.
“Segala salah faham perlu diselesaikan secara tertutup dan berhemah, dengan meletakkan kepentingan murid sebagai keutamaan bersama. Semoga insiden ini menjadi iktibar dan titik mula kepada reformasi menyeluruh dalam ekosistem pendidikan negara,” katanya.