Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kita dengar cerita tentang kekasaran, ugutan, dan provokasi yang berlaku dalam politik negara. Rakyat mula rasa resah. Mereka melihat budaya samseng ini bukan saja mencalar imej politik, malah merosakkan asas demokrasi dan keharmonian yang kita bina bersama.
Budaya samseng ini datang dalam pelbagai rupa. Ada yang berbentuk ugutan fizikal, ada yang menyerang peribadi. Tidak kurang yang menggunakan bahasa kesat, membuat sindiran menghina dengan menyamakan lawan politik dengan imej haiwan, atau mengeluarkan ucapan berbaur rasis yang membakar sentimen perkauman. Ada pula yang sanggup menunggang isu-isu kematian untuk tujuan politik, mengapi-apikan emosi rakyat demi meraih undi. Lebih membimbangkan, sudah ada kes serangan jenayah terhadap ahli keluarga tokoh politik. Semua ini menunjukkan betapa budaya ganas sudah melampaui batas agama, adab dan perikemanusiaan.

Akibatnya, ruang untuk berbahas secara sihat semakin sempit. Adab dalam berpolitik makin terhakis. Perhatian rakyat dialihkan daripada isu-isu sebenar yang jauh lebih penting seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan masa depan negara.
Ramai tokoh masyarakat, ahli Politik, ahli akademik, dan NGO bersuara. Mereka menegaskan bahawa politik yang matang tidak dibina atas penghinaan, kekerasan atau manipulasi tragedi. Politik yang sihat mesti berasaskan nilai iaitu kejujuran, integriti, dan rasa tanggungjawab kepada rakyat. Sejarah para Nabi menunjukkan walaupun mereka berdepan dengan penentangan dan kezaliman, kebenaran tetap ditegakkan melalui hujah yang bijaksana, kata-kata yang sopan, dan kesabaran yang tinggi.

Al-Quran mengingatkan kita untuk menyeru kepada kebaikan dengan hikmah, memberi nasihat yang baik, dan berdebat dengan cara yang terbaik. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa orang yang kuat bukanlah yang mampu menumbangkan lawannya, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah.
Pesan ini jelas bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada suara yang paling lantang atau tangan yang paling kuat, tetapi pada hati dan fikiran yang mampu menahan emosi, mendengar hujah, dan memberi jawapan dengan adab.

Rakyat kini semakin lantang menolak budaya samseng. Mereka mahu pemimpin berhenti daripada retorik kasar, serangan peribadi, permainan sentimen, dan tindakan ganas yang melibatkan ahli keluarga. Mandat politik seharusnya datang daripada dasar yang meyakinkan, prestasi yang terbukti, dan keupayaan membina perpaduan, bukan daripada ketakutan atau penghinaan.
Jika kita mahu negara ini maju, kita perlu kembali kepada politik nilai. Politik yang memartabatkan adab, meraikan hujah, dan mendidik rakyat untuk berfikir. Perubahan ini mesti bermula di semua peringkat termasuk di Parlimen, kerana di situlah undang-undang dibentuk, dasar digubal, dan contoh teladan ditunjukkan kepada seluruh negara. Hanya dengan cara ini kita boleh melangkah ke hadapan dengan maruah yang terpelihara.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional/ Naib Pengerusi Amanah Selangor