SelangorToday

RAMANAN TEMPELAK RAMASAMY, BERTANGGUNGJAWAB JIKA RAKYAT SALAH PILIH CALON

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy perlu bertanggungjawab jika rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) memilih pemimpin tidak tepat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini bagi mengemudi pembangunan di situ.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, jika kempen yang dilakukan itu berjaya, bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu perlu berdepan penduduk KKB sekiranya timbul masalah pada masa hadapan.

“Jika ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) (bukan daripada Kerajaan Perpaduan) yang menang selepas ini tidak dapat tolong mereka (penduduk KKB), adakah Ramasamy akan pergi tolong mereka?

“Sebab saya banyak kali nampak selepas menang, (alasan yang diberikan) kita bukan kerajaan negeri, kita tiada peruntukan, (jadi) kita tak boleh tolong. Saya nak bertanya adakah masa itu Ramasamy akan tolong mereka?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Vanakam Madani bersama penduduk KKB di sini pada Ahad.

Media hari ini melaporkan Ramasamy telah memulakan kempen dengan meminta pengundi di KKB menolak Pakatan Harapan (PH).

Ramanan turut menyeru penduduk termasuk komuniti India di kawasan itu agar tidak terpengaruh dengan kempen berkenaan.

PRK KKB, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – Sinar Harian

Exit mobile version