SelangorToday

RANCANGAN SELANGOR -1 PERKASA EKONOMI PENJAGAAN DAN GOLONGAN DIJAGA

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari memberikan penegasan bahawa Rancangan  Selangor -1 (RS-1) yang dilaksanakan sepanjang tahun 2021 hingga 2025 akan memperkasakan aspek Ekonomi Penjagaan serta golongan yang dijaga. Ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, Anfaal berkata, melalui teras kedua RS-1, Selangor akan membangunkan semua potensi merangkumi golongan wanita dan orang kelainan upaya. Dalam masa yang sama, Ekonomi Penjagaan sebagai satu bidang baru akan melaksanakan dasar-dasar yang menyeluruh setelah pandangan yang diterima oleh Kerajaan Negeri melalui Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor yang diadakan minggu lalu.

Mengulas perkaitan antara Ekonomi Penjagaan dengan pembangunan negara, Anfaal menjelaskan jika penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan ditambah, peratus KDNK akan bertambah antara 7-12%, manakala Negeri Selangor akan mencatat pertumbuhan sehingga 33%. Dengan kekangan kewangan yang semakin tinggi, kebanyakan ibu-ibu memilih untuk tidak bekerja lagi demi mengurangkan beban kewangan penjagaan anak. Ini akan merencatkan pertambahan golongan wanita bekerja. Maka  Kerajaan Selangor melihat, insentif MamaKerja merupakan dorongan awal kepada golongan wanita terus bekerja dan kerajaan akan terus  memberi nilai tambah kepada sektor Ekonomi Penjagaan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.

Sebelum ini aspek Ekonomi Penjagaan telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dalam menekankan soal kebajikan dan memberi nilai tambah kepada golongan yang menjadi suri rumah, penjaga orang kelainan upaya serta warga emas. Ekonomi Penjagaan ini juga merupakan satu persediaan kepada Negeri Selangor yang bakal menjadi negeri menua pada tahun 2030 iaitu sebanyak 15% populasi rakyat Selangor berumur 60 tahun keatas. – SelangorToday

Exit mobile version