SelangorToday

RANCANGAN SELANGOR PERTAMA ANGKAT AGENDA NEGERI PINTAR 2025

Empat tema utama menjadi panduan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi menjayakan agenda Selangor muncul sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata empat tema utama berkenaan merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus.

Amirudin Shari diberi penerangan mengenai projek syarikat Air Selangor

Beliau berkata tema ekonomi bermatlamat mengukuhkan status Selangor sebagai nadi pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama pelaburan berkualiti di Malaysia dan rantau Asia.

Katanya, pertumbuhan ekonomi terus diperkukuh dengan mewujudkan peluang pelaburan berdampak tinggi sekali gus membuka luas peluang pekerjaan dalam merancakkan lagi ekonomi pascapandemik.

“Tema sosial berhasrat menjadikan Selangor sebagai negeri ideal untuk diduduki dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara seimbang dan terangkum.

“Ia memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dengan menyediakan peluang untuk rakyat menjana pendapatan, menyediakan intervensi sosial bersasar kepada golongan miskin bandar dan luar bandar,” katanya hari ini.

Berucap dalam Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, Amirudin berkata tema kelestarian pula akan menjadikan negeri sebagai peneraju pembangunan lestari.

Menurut beliau, menerusi tema itu usaha memelihara dan memulihara alam sekitar termasuk faktor perubahan iklim menjadi aspek penting dalam setiap pembangunan.

“Kerajaan Negeri juga menzahirkan komitmen ke arah negeri rendah karbon melalui pembinaan infrastruktur hijau dan pengurusan sisa yang lebih teratur dan mampan.

“Manakala tema tadbir urus berobjektifkan matlamat untuk mentrasformasi perkhidmatan awam negeri menjadi organisasi moden, berwawasan dan berpaksikan rakyat dalam memudahcara pembangunan dan perniagaan,” katanya.

Exit mobile version